Kabinet Keselamatan Israel Bermesyuarat Hari Ini Mengenai Gaza

BAITULMAQDIS: Kabinet Keselamatan Israel akan bermesyuarat hari ini di Baitulmaqdis bagi membincangkan rundingan semula gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Omer Mantzour, bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut pertanyaan AFP mengenai agenda mesyuarat berkenaan.

Kabinet Keselamatan pada awal Ogos lalu meluluskan rancangan tentera untuk mengambil alih Bandar Gaza, yang menerima tentangan serta kritikan hebat masyarakat antarabangsa hingga kini.

Menurut media Israel, mesyuarat pada hari ini dijangka menumpukan kepada usaha menyambung rundingan bagi mencapai gencatan senjata serta pembebasan tebusan yang masih ditahan di wilayah Palestin itu.

Sebelum ini, Netanyahu mengarahkan rundingan segera untuk membebaskan semua tahanan yang masih berada di Gaza.

Arahan itu dibuat beberapa hari selepas Hamas mengumumkan menerima cadangan baharu gencatan senjata yang dikemukakan oleh pihak pengantara.

Jika berjaya, ia akan menyaksikan pembebasan tebusan secara berperingkat dalam tempoh awal 60 hari sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel.

Forum Keluarga Tebusan dan Hilang, iaitu kumpulan utama memperjuangkan pembebasan tahanan di Gaza, menyeru hari tindakan nasional diadakan pada hari ini.

“Kebanyakan rakyat Israel mahu orang tersayang dibawa pulang. Sengaja melengahkan proses bagi menandatangani perjanjian untuk kepulangan mereka bercanggah dengan kehendak rakyat dan nilai asas kita serta tanggungjawab bersama dan semangat persaudaraan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Reuters melaporkan Netanyahu menzahirkan kekesalan mendalam terhadap apa yang digambarkan sebagai kes tragik di Hospital Nasser di selatan Semenanjung Gaza semalam.

Serangan Israel ke atas hospital berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk lima wartawan daripada agensi berita antarabangsa seperti Reuters, Associated Press dan Al Jazeera.

“Perang kita adalah dengan pengganas Hamas. Matlamat kita jelas iaitu hanya menewaskan Hamas dan membawa pulang semua tebusan,” kata Netanyahu.

Lima wartawan yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Hospital Nasser di selatan Semenanjung Gaza termasuk Hussam al-Masri, kontraktor Reuters yang bertugas di Hospital Nasser, Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.

Turut menjadi mangsa, Mariam Abu Dagga, yang menurut Associated Press bekerja secara bebas untuk agensi itu; Moaz Abu Taha, wartawan bebas yang berkhidmat dengan beberapa agensi berita termasuk sekali-sekala menyumbang kepada Reuters.

Mohammed Salama, yang menurut Al Jazeera berpangkalan di Qatar dan bekerja untuk stesen penyiar itu, selain Ahmed Abu Aziz, yang merakam swafoto dalam imej media sosial tanpa tarikh diperoleh Reuters. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konflik Gaza Memuncak: AS & Israel Giat Desak Hamas Lepas Tebusan

Next Post

Itali Gesa Israel Hentikan Keganasan Ke Atas Gaza

Related Posts