Kabinet Keselamatan Israel Sokong Operasi Tentera Di Gaza Diperluas Lagi

BAITULMAQDIS: Kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk memperluaskan operasi tentera di Semenanjung Gaza, lapor media Israel.

Perkembangan itu membuktikan bahawa usaha untuk menghentikan pertempuran dan membawa pulang tebusan yang ditahan Hamas masih buntu.

Keputusan itu dibuat selepas kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Ketua Angkatan Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, baru-baru ini memberi isyarat Israel berhasrat untuk meningkatkan lagi kempen ketenteraannya di Gaza.

Sejak kegagalan perjanjian gencatan senjata pada Mac lalu, tentera Israel membentuk zon penampan yang luas di Gaza.

Ini menyebabkan 2.3 juta penduduknya terhimpit ke kawasan yang semakin sempit di tengah-tengah wilayah itu dan sepanjang pesisir pantai, selain menyekat kemasukan trak bantuan.

“Selagi Hamas tidak membebaskan tebusan kami, kami akan melipatgandakan tindakan ketenteraan,” kata portal berita utama Israel, ynet, memetik seorang pegawai Israel yang namanya tidak didedahkan.

Jurucakap pejabat Netanyahu enggan mengulas laporan terbabit, yang menyatakan keputusan itu akan dibawa untuk kelulusan penuh Kabinet esok.

Walaupun usaha oleh pengantara Mesir dan Qatar diteruskan bagi memulihkan gencatan senjata, Israel dan Hamas masih berpegang pada tuntutan masing-masing dan saling menuding jari atas kegagalan mencapai persetujuan.

Israel yang mahukan pemulangan 58 tebusan yang masih ditahan di Gaza dengan dianggarkan sehingga 24 daripada mereka masih hidup, bertegas bahawa Hamas perlu lucutkan senjata.

Tambahnya, pergerakan pejuang Islam itu juga tidak dibenarkan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran masa depan Gaza dan itu merupakan satu syarat yang ditolak Hamas.

Hamas, yang mentadbir Gaza sejak 2007, menetapkan bahawa sebarang perjanjian pembebasan tebusan perlu disertai dengan penamatan kekal pertempuran serta pengunduran tentera Israel dari wilayah itu.

Terdahulu, pejabat Netanyahu menafikan dakwaan Israel menolak cadangan gencatan senjata dikemukakan oleh pengantara Mesir dan menuduh Hamas menghalang tercapainya perjanjian untuk menghentikan pertempuran.

Sementara itu, pegawai tentera Israel mendakwa pasukan mereka bersedia untuk mempertingkatkan operasi di Gaza pada bila-bila masa. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

#beritahariini

Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Kerah Tentera Simpanan Secara Besar-Besaran untuk Serang Gaza

Next Post

PBB Desak Siasatan Serangan Dron Ke Atas Kapal Bantuan Gaza

Related Posts