“Kami Keluarkan Kanak-Kanak Itu Dalam Keadaan Berkecai” – Penduduk Gaza

GAZA CITY: Ketika dron berdengung di bawah cahaya matahari pagi, rakyat Palestin dengan penuh hati-hati mengangkat selimut yang menutupi mayat dari runtuhan – satu lagi korban dalam serangan udara Israel yang tidak henti-henti ke atas Bandar Gaza.

Keadaan menyayat hati ini menjadi pemandangan biasa di pusat bandar utama Semenanjung Gaza, di mana Israel telah meningkatkan serangannya menjelang operasi darat yang dilancarkan semalam.

Pengeboman semalaman meratakan sebuah blok kediaman di utara bandar itu hingga menjadi timbunan runtuhan.

Seorang lelaki menyelinapkan kepala dan tangannya di bawah bongkah konkrit dalam usaha terdesak mencari mangsa yang terselamat.

“Ada kira-kira 50 orang di dalam, termasuk wanita dan kanak-kanak. Saya tak tahu kenapa mereka bom tempat ini,” kata Abu Abd Zaqout, sambil menambah bahawa bangunan itu didiami oleh keluarga pakciknya.

“Mengapa bunuh kanak-kanak yang sedang tidur dengan aman, dan menjadikan mereka cebisan tubuh?” tambahnya. “Kami keluarkan kanak-kanak itu dalam keadaan berkecai.”

Dalam satu kenyataan, keluarga Zaqout memaklumkan bahawa 23 ahli keluarga mereka terbunuh dalam serangan ke atas rumah mereka.

Tapak serangan dikelilingi oleh kemusnahan total, dan mereka yang membantu operasi menyelamat kelihatan begitu kecil berbanding timbunan konkrit dan logam yang hancur.

Satu keluarga laindilihat cuba memuatkan barangan ke dalam kereta yang diletakkan di atas jalan yang hampir tidak boleh dilalui, penuh dengan serpihan runtuhan.

“Waktu malam mereka bom satu kawasan penuh, tiga rumah dan rumah-rumah berhampiran,” kata penduduk Bandar Gaza, Mohammed al-Bardawil.

“Semua mangsa adalah kanak-kanak, orang tua dan wanita. Mereka semua di bawah runtuhan.”

Agensi pertahanan awam Gaza – pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas – berkata sekurang-kurangnya 12 mayat telah dikeluarkan selepas lebih lapan jam operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Apabila dihubungi oleh AFP, tentera Israel berkata mereka akan “mencuba untuk menyemak laporan tersebut.”

Sekatan media di wilayah itu dan kesukaran untuk mengakses banyak kawasan menyebabkan AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas maklumat dan angka yang diberikan oleh agensi pertahanan awam atau tentera Israel.

Israel semalam mengumumkan ia telah melancarkan serangan darat besar-besaran yang telah lama dirancang ke atas Bandar Gaza, dan menyatakan tenteranya kini bergerak lebih jauh ke pusat bandar tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menganggarkan hampir satu juta orang tinggal di Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya, dari mana Israel telah berulang kali memberi amaran supaya orang awam berpindah ke selatan.

Seorang pegawai tentera Israel menganggarkan lebih 350,000 orang telah melarikan diri dari bandar itu sebelum serangan darat dimulakan.

Ibrahim Al-Besheiti, 35 tahun, penduduk kejiranan Al-Sabra di Bandar Gaza, memberitahu AFP bahawa situasi semasa adalah “amat dahsyat”.

“Bunyi pesawat tidak pernah berhenti — dron dan jet pejuang memenuhi langit setiap masa. Kami sangat takut, dan ramai orang di sekeliling kami telah pun melarikan diri. Kami tak tahu apa akan jadi pada kami,” katanya.

Besheiti berkata pengeboman semalaman berhampiran rumahnya begitu kuat sehingga tekanan letupan memecahkan tingkap dan menanggalkan pintu dari rangka.

“Kami dengar jeritan dari bawah runtuhan,” katanya.

“Pemandangan berulang ini menakutkan kami dan membuktikan bahawa tiada lagi nilai kemanusiaan di dunia ini.”

Di kejiranan Sheikh Radwan di utara, Maysa Abu Jamaa, 38, berkata tembakan dari kenderaan tentera, serangan dron dan bedilan artileri berlaku secara berterusan.

Satu letupan besar pada waktu malam mengejutkan keluarganya dari tidur, katanya, sambil menambah bahawa anak-anaknya “ketakutan, menjerit dan menangis dalam ketakutan”.

“Kami hidup dalam kegelapan yang berterusan dan tidak nampak sebarang jalan keluar.”

Agensi pertahanan awam berkata tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 37 orang sejak subuh di seluruh wilayah Palestin, dalam perang yang bertujuan menumpaskan Hamas dan kini sudah berlarutan hampir dua tahun.

Serangan oleh Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023 telah mengakibatkan 1,219 orang terkorban, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Kempen balas dendam oleh Israel di Gaza pula telah membunuh sekurang-kurangnya 64,964 orang, juga majoritinya orang awam, menurut angka dari Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

9 Kapal Bantuan Belayar Ke Gaza, 6 Lagi Sedia Pecahkan Sekatan Israel

Next Post

“Pemindahan Kanak-Kanak Gaza Tindakan Tidak Berperikemanusiaan” – UNICEF

Related Posts