
NEW YORK, 28 Ogos – Duta Besar United Kingdom ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Barbara Woodward, menyifatkan kebuluran yang melanda Bandar Gaza adalah “sepenuhnya berpunca daripada perbuatan manusia” dan satu “kehinaan moral”.
Beliau bercakap dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang berlangsung pada Rabu.
Beliau turut menggesa Israel agar segera menarik balik sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.
Laporan terkini oleh Sistem Pengelasan Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mendedahkan bahawa Bandar Gaza dan kawasan sekitarnya kini secara rasmi mengalami kebuluran, dan keadaan itu dijangka merebak.
Menurut laporan tersebut, seramai 514,000 penduduk iaitu hampir satu per empat daripada jumlah rakyat Palestin di Gaza sedang mengalami kebuluran.
Angka itu dijangka meningkat kepada 641,000 menjelang akhir September.
Namun, Israel menolak dapatan itu dan meminta IPC menarik balik penilaian mereka kerana mereka mendakwa laporan tersebut sebagai tidak tepat dan berat sebelah.
Rejim itu berkata penilaian tersebut dibuat berdasarkan data yang tidak lengkap, yang sebahagian besarnya dibekalkan oleh Hamas, tanpa mengambil kira kemasukan bantuan makanan yang terkini. – REUTERS
Sumber: Berita RTM