
BAITULMAQDIS: Pihak berkuasa Israel semalam melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein, susulan khutbah beliau yang mengkritik dasar Israel di Gaza.
Menurut peguam Sheikh Hussein, larangan awal selama lapan hari itu kini dilanjutkan hingga enam bulan, sekali gus menghalang tokoh agama terbabit daripada memasuki tapak suci di Baitulmaqdis Timur.
Larangan berkenaan dikenakan berikutan khutbah Jumaat pada hujung Julai lalu di mana Sheikh Hussein mengecam dasar kebuluran yang dikenakan Israel terhadap dua juta penduduk Palestin di Gaza, lapor agensi berita Wafa.
Beliau kemudian dipanggil pihak berkuasa Israel pada 27 Julai lalu sebelum diserahkan perintah pengusiran selama lapan hari dari kawasan masjid – yang tempohnya kini telah diperbaharui.
Tindakan Israel itu turut mendapat kecaman Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin yang menyifatkan larangan berkenaan sebagai cubaan terancang untuk menyingkirkan tokoh agama dari Masjid Al-Aqsa.
“Larangan terhadap mufti ini adalah usaha jelas pihak penjajah untuk mengosongkan Al-Aqsa daripada kehadiran tokoh agama yang lantang menentang perancangannya, sekali gus mencerminkan skala pelanggaran Israel di Gaza, Tebing Barat dan khususnya di Masjid Al-Aqsa,” menurut kenyataan kementerian berkenaan.
Sumber: Berita Harian