
GAZA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menolak cadangan baharu Israel untuk mengawal penghantaran bantuan ke Gaza, sambil menyatakan bahawa ia berisiko “mengawal dan menyekat bantuan secara kejam hingga ke tahap kalori dan tepung terakhir.
“Kami tidak akan terlibat dalam sebarang perjanjian yang tidak menghormati sepenuhnya prinsip-prinsip perikemanusiaan iaitu tidak memihak, kebebasan dan berkecuali,” kata Guterres kepada wartawan.
Tiada bantuan memasuki wilayah Gaza sejak 2 Mac lalu.
Israel menyatakan bahawa tidak akan membenarkan kemasukan semua barang dan bekalan ke Gaza sehingga kumpulan pejuang Hamas membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
Agensi tentera rejim zionis yang menyelaras bantuan, COGAT, mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa minggu lalu dan mencadangkan “mekanisme pemantauan dan kemasukan bantuan yang tersusun” untuk Gaza.
“Mekanisme ini direka untuk menyokong organisasi bantuan, meningkatkan pengawasan dan ketelusan, serta memastikan bantuan sampai kepada penduduk awam yang memerlukan, dan bukan diselewengkan atau dicuri oleh Hamas,” kata COGAT dalam satu hantaran di X pada hari Ahad.
Namun, pegawai kanan bantuan PBB untuk Gaza dan Tebing Barat, Jonathan Whittall, berkata tiada bukti bantuan telah diselewengkan.
Israel bulan lalu menyambung semula pengeboman di Gaza selepas genjatan senjata dua bulan dan menghantar semula tenteranya ke wilayah berkenaan.
“Gaza kini adalah medan pembunuhan dan orang awam terus terperangkap dalam kitaran maut yang tiada penghujung,” kata Guterres, sambil sekali lagi menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan, gencatan senjata berkekalan, dan akses kemanusiaan penuh ke Gaza.
“Dengan pintu masuk ke Gaza ditutup dan bantuan disekat, keselamatan berada dalam kekacauan dan keupayaan kami untuk menyalurkan bantuan telah diganggu teruk,” katanya.
Guterres menegaskan bahawa sebagai kuasa penjajah, Israel mempunyai tanggungjawab yang jelas di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
“Ini termasuk memudahkan program bantuan dan memastikan makanan, penjagaan kesihatan, kebersihan dan piawaian kesihatan awam di Gaza
“Tiada satu pun perkara ini berlaku hari ini,” tambah beliau.
Sumber: Buletin Tv3
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj