
TEL AVIV: Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv menuntut penamatan perang di Gaza dan pembebasan tebusan, menjadikannya salah satu demonstrasi terbesar di Israel sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Perhimpunan itu adalah kemuncak kepada siri bantahan di seluruh negara dan mogok umum yang bertujuan menekan kerajaan Israel supaya menghentikan kempen ketenteraan.
Orang ramai yang berhimpun melaungkan slogan ‘bawa mereka semua pulang! Hentikan perang!’ ketika membanjiri Dataran Tel Aviv yang kini digelar ‘Dataran Tebusan’.
Penganjur bantahan itu, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang, menganggarkan sekitar 500,000 orang menyertai perhimpunan. Bagaimanapun angka berkenaan belum disahkan pihak polis.
Ibu tebusan, Matan Zangauker, yang juga tokoh utama bagi gerakan berkenaan, Einav Zangauker menuntut perjanjian menyeluruh yang boleh dicapai bagi menamatkan perang.
“Kami menuntut apa yang sepatutnya milik kami dan anak-anak kami. Kerajaan Israel menjadikan perang yang pada mulanya adil menjadi perang yang sia-sia,” katanya kepada orang ramai.
Media tempatan turut menyiarkan rakaman video Matan semalam dan menunjukkan tebusan itu dalam keadaan lemah dan susut berat badan.
Beliau menyampaikan mesej rindu kepada keluarganya. Video itu dirakam Hamas dan ditemui tentera Israel di Gaza, menurut keluarga berkenaan.
Protes itu berlangsung lebih seminggu selepas kementerian keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk menawan Bandar Gaza, selepas 22 bulan perang yang mencetuskan krisis kemanusiaan teruk di wilayah Palestin itu.
Kumpulan kempen Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang semalam turut berikrar akan melumpuhkan negara mereka dalam memastikan semua tebusan dibawa pulang dan perang dapat ditamatkan.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, tembakan yang dilepaskan Israel semalam mengorbankan lebih 60 penduduk Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 37 orang yang sedang menunggu bantuan makanan di dua lokasi. – AFP
Sumber: Berita Harian