
KAHERAH: Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas bagi mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza telah dimulakan di Qatar.
Ia dimaklumkan seorang pegawai Palestin yang mempunyai maklumat berhubung proses rundingan itu, kepada AFP.
“Rundingan melibatkan mekanisme pelaksanaan dan pertukaran tebusan dan pendirian kedua-dua pihak sedang disampaikan melalui perantara,” katanya yang memaklumkan rundingan bermula sekitar jam 9.30 malam waktu tempatan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang kini berdepan tekanan hebat untuk menamatkan perang berharap pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dapat membantu mempercepatkan perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Namun dalam satu kenyataan pada Sabtu, Netanyahu yang mengumumkan penghantaran delegasi ke Doha bagi rundingan tidak langsung dengan Hamas, turut menyatakan maklum balas kumpulan itu terhadap draf cadangan gencatan senjata yang disokong AS mengandungi tuntutan yang tidak boleh diterima.- AFP
Sumber: Buletin Tv3