Serangan Udara Israel Ragut 3 Nyawa Lagi Di Gaza Semalam

KAHERAH, 09 Mac: Tiga rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza semalam yang disifatkan sebagai insiden paling maut sejak Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan perang terhadap Iran seminggu lalu.

Ketua Hospital Al-Shifa di bandar itu, Mohamed Abu Selmia, berkata tiga lelaki terbabit berada berhampiran Universiti Al-Azhar di barat Gaza, termasuk seorang paramedik, Mohammad Hamduna serta dua lagi lelaki dikenali sebagai Mohammad Abu Shedeq dan Ahmed Lafi.

“Serangan itu mengenai kawasan berhampiran kem khemah yang padat dengan penduduk Gaza yang berlindung dan turut mencederakan beberapa individu lain di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, serangan itu membunuh dua anggota Hamas yang didakwa sedang membuat persiapan untuk menyerang tentera Israel, namun tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Namun, tiada kumpulan bersenjata yang setakat ini mengesahkan mana-mana lelaki terbabit sebagai anggota mereka.

Tentera Israel juga enggan mengulas lanjut untuk memberikan bukti yang mengaitkan ketiga-tiga lelaki itu dengan rancangan serangan berkenaan.

Israel dan Hamas sebelum ini bersetuju melaksanakan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang diusahakan AS dan bermula Oktober lalu, namun keganasan dilaporkan terus berlaku hampir setiap hari, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian itu.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 640 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan Israel sejak Oktober, manakala Israel menyatakan empat tenteranya terbunuh akibat serangan kumpulan bersenjata di Gaza dalam tempoh sama.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, Gaza musnah teruk selepas lebih dua tahun serangan Israel yang mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin, selain menyebabkan sebahagian besar wilayah itu menjadi runtuhan.

Perang berkenaan tercetus susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyaksikan lebih 250 individu dijadikan tebusan, menurut angka pihak berkuasa Israel.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Ekonomi Israel Rugi Hampir AS$3 Bilion Dalam Seminggu Akibat Serang Iran

Next Post

Siri 20 | Singa yang Merindui “Apache”: Kisah Seorang Doktor Perubatan Palestin yang Memilih Jalan Syahid

Related Posts