
Wanita dan emosi memang tak boleh dipisahkan. Sebenarnya emosi ini bukan kelemahan, tetapi kekuatan buat wanita. Dengan emosi, isteri sanggup menyediakan makan pakai suami, dengan emosi juga ibu mampu menjaga anak dengan baik, seolah-olah hati mereka saling berpaut. Anak belum beritahu, ibu sudah tahu anak sakit. Emosi wanita juga membentuk psikologi wanita dan mempengaruhi warga sekeliling. Emosi ini juga senang dipengaruhi dengan persekitaran dan gaya hidup seorang wanita.
Tetapi, cerita kita hari ini bukan sekadar emosi wanita yang selalu orang kaitkan antara burn out dan me time. Kita ingin fahami bagaimana psikologi sosok tubuh wanita yang hidupnya sentiasa mengalami perubahan baharu, bukan setiap hari, bahkan boleh jadi setiap minit dan mungkin dalam beberapa detik… pum! Hidupnya berubah 180 darjah!
Cerita ini bukan cerita wanita Malaysia, tetapi wanita Gaza.
Wanita Gaza tiada kehidupan yang pasti. Boleh jadi sekarang dia berada di rumah bersama suami dan anak-anak, tetapi esoknya menjadi pelarian dan balu. Mungkin juga terus menjadi ibu tunggal menyara anak-anak sendiri. Lebih sedih, mungkin juga dia bersendirian. Hidup mereka seperti bom jangka… Bila-bila boleh meletup dan pergi begitu sahaja.
Tapi tapi tapi…. Satu kepelikan di sini, mereka masih mampu bertahan dan masih wujud di bumi Gaza, mempertahankan tanah air dan masih mendidik generasi. Buktinya, masih ramai pejuang baris hadapan dari kalangan pemuda. Inilah hasil didikan wanita Gaza. Adakah mereka tidak mempunyai emosi? Atau psikologi mereka tidak terkesan?
Mereka terkesan sebenarnya. Tipulah mereka tidak terkesan. Sejak 1948, mereka terpaksa berhadapan dengan kehidupan yang sangat sukar, daripada generasi ke generasi. Ada yang terpaksa bersalin tanpa akses perubatan yang lengkap. Ada yang melahirkan anak tiada suami di sisi, mungkin juga dalam keadaan dipenjara, dan ada juga yang berhadapan dengan gangguan seksual oleh tentera Israel. Belum lagi kesukaran membesarkan anak dalam waktu perang, tiada makanan dan kediaman yang selesa dan terlalu banyak ujian yang mereka alami. Ikutkan adat, tak tahu berapa juta kali mereka boleh burn out!
Tetapi bagaimana mereka kawal psikologi mereka?
Ada satu perkara yang mereka tanam dalam minda, iaitu “Inilah kehidupan kita”. Walau bagaimana susah yang kita hadapi, inilah hidup dan kita kena teruskan! Mungkin bagi wanita lain, hidup itu adalah apabila adanya rumah, adanya makanan asasi dan keluarga. Namun, wanita Gaza cuba mengadaptasi lumrah kehidupan dengan kesukaran. Maka, kesukaran hidup juga adalah kehidupan.
Hiduplah walaupun sukar. Cari jalan untuk hidup dan kita kena hidup! Bukan untuk kita, tapi untuk generasi kita. Inilah mindset wanita Gaza atau lebih menarik, kita panggil wanita eksklusif!
Otak mereka ni hari-hari fikir, apa yang akan berlaku? Apa yang kita nak buat untuk masa depan? Apa kita nak jawab depan anak-anak yang membesar tentang kehidupan ini? Bagaimana nak mendidik anak dengan persekitaran begini?
Apabila setiap hari otak mereka dilatih untuk memberikan yang terbaik walaupun dalam kehidupan yang terlalu genting, akhirnya lahirnya jiwa-jiwa yang mengenali erti sumud (bertahan) dan thabat (tetap). Wanita Gaza ini pada setiap saat bersedia mengalami perubahan dan pembaharuan kerana hidup mereka boleh berubah dengan tiba-tiba. Maka, kepala mereka menerima ujian ini, mereka bertahan dan mencipta kehidupan walaupun dalam ketakutan dan kegusaran.
Bagi mereka, wanita simbol pemberian. Kerana itu, mereka memberi jiwa raga mereka. Beri apa? Beri anak-anak rasa tenang walaupun bom meletus sana sini, beri suami tenang walaupun tiada rumah selesa dan makanan bercatu. Mereka fikir mereka kena kuat!
Kerana apa? Kerana ibu ialah benteng dan makna kehidupan sebenar. Seorang ibu adalah baja yang menyuburkan tanaman. Seorang ibu adalah makna kehidupan anak dan suami. Ibu layu? Maka layulah seluruh isinya. Sebab itu, wanita Gaza bangkit bertahan. Bukan kerana mereka tidak rasa lemah, tetapi mereka dididik untuk kuat.
Mereka yakin merekalah lambang kehidupan, Melalui kekuatan mereka, lahirlah insan-insan yang berjiwa panglima, mempertahankan tanah air. Wanita Gaza berhadapan dengan musuh yang jelas, jadi pendirian dan kekuatan mereka juga jelas, bukan sekadar fatamorgana atau sekadar lakonan di balik layar. Untuk jadi wanita Gaza tidak mudah, tetapi mereka berusaha demi mencipta kehidupan yang terbaik walaupun dalam keadaan susah.
Wanita Gaza mengajar kita bahawa kekuatan bukan lahir daripada keselesaan, bukan juga bermaksud kuat itu lahir tanpa rasa takut dan lemah. Namun, kekuatan sebenar adalah apabila kita mengambil langkah untuk teruskan hidup, mendidik generasi dan terus meniupkan harapan walaupun dunia tidak berpihak kepada kita.