
Setiap malam pada bulan Ramadhan, selepas berbuka puasa pasti ada satu soalan besar dalam kehidupan kita. Satu persoalan yang kadangkala memeningkan kepala kita untuk memikirkannya. Boleh jadi jawapan kepada soalan itu akan memberi kesan kepada pekerjaan kita atau persekolahan anak kita esok hari. Soalan itu ialah, kita nak tarawih di mana hari ini?
Susah kan nak buat pilihan? Nak masjid yang ada aircond ke, atau surau yang habis lebih laju? Nak dengar ada tazkirah Ramadhan ke atau yang imam baca sedap?
Tetapi pernahkah kita terfikir bagaimana solat tarawih di bumi perjuangan Gaza? Dalam bangunan apa mereka solat?
Seorang Imam dari Gaza, Abd Rahman Zaki Hammad yang merupakan abang kepada Komander Al-Qassam di Beit Hanoun, Muhammad Zaki Hammad telah menceritakan bagaimana suasana tarawih di sana sebelum perang Taufan Al-Aqsa.
Di Gaza, pihak berkuasa yang sah, Hamas melalui Kementerian Waqafnya telah menetapkan pada setiap kawasan wajib ada satu masjid yang baca satu juzuk satu malam dalam solat terawih. Masjid-masjid begini dinamakan Masjid Al-Khatam kerana wajib mengkhatamkan 30 Juzuk bacaan Al-Qur’an dalam Solat Terawih.
As-Syahid Komander Zaki Hammad adalah salah seorang imam di masjid paling besar di Beit Hanoun. Setiap malam selepas selesai solat tarawih, beliau akan kumpulkan remaja dan pemuda yang hadir untuk sesi sambungan tahajjud tambahan dalam qiyamullail berserta tadabbur dan tazkirah.
Lihatlah bagaimana seorang Komander besar dalam Al-Qassam bukan sekadar hebat di medan perang, tetapi juga seorang imam besar yang sangat dekat dengan masyarakat dan remaja. Bahkan ada remaja dan pemuda yang sanggup tinggalkan masjid di kawasan untuk pergi Masjid di mana Komander Muhammad Zaki Hammad menjadi imam.
As-Syahid telah istiqomah selama 17 tahun beriktikaf di Masjid 10 malam terakhir dari malam 20 sehingga lah malam raya jika tiada perang tahun itu pada bulan Ramadhan. Sejak beliau remaja sehinggalah beliau syahid ketika berusia 31 tahun.
Suasana seperti ini biasa sahaja di Gaza untuk pemuda dan remaja. Sekolah dan universiti akan cuti pada 10 malam terakhir. Pekerja perkhidnatan awam juga cuti manakala sebahagian besar syarikat swasta juga memberikan cuti kepada pekerja mereka.
Masjid akan penuh dengan rajyat Gaza yang beriktikaf sementara para wanita sahaja yang akan tinggal di rumah.
Pernah pada tahun 2020 As-Syahid Muhammad Zaki Hammad telah dihantar untuk tugasan menjadi imam di Indonesia. Sepatutnya khidmatnya sebagai imam sebulan di sana, tetapi memohon maaf kerana mahi tamatkan khidmat pada malam ke-20 kerana mahu pulang ke Gaza untuk menikmati suasana iktikaf di sana.
Sejurus selepas beliau sampai ke rumah di Gaza, isterinya sangat merinduinya. Tetapi beliau dengan tegas mengatakan bahawa sekarang bukan masa untuk bersama dengan keluarga, tapi aku nak pergi beriktikaf di Masjid. Kekallah beliau iktikaf di Masjid sehingga malam raya.
Begini lah suasana Ramadhan di Gaza dan bagaimana mereka di sana menyambut. Mereka sangat fokus kepada ibadah, solat, qiyamullail dan iktikaf. Bukan sekadar solat tapi mereka habiskan Al-Qur’an dalam bacaan solat. Lebih istimewa lagi imam mereka adalah Komander Al-Qassam sendiri.
Bagaimana agaknya dengan suasana Ramadhan kita yang diraikan dengan Bazar dan lagu-lagu raya?