
Cuba bayangkan sudah lebih 800 hari rakyat Gaza berada dalam situasi perang, bekalan serba kekurangan, tekanan hidup makin hari makin tinggi. Tetapi mereka tetap teguh mempertahankan bumi mereka dan tidak berganjak dari tanah milik mereka, padahal mereka pernah diberi peluang untuk berpindah keluar dari Gaza.
Pernah tak kita terfikir macam mana boleh wujudnya satu kelompok manusia yang begitu kuat dan sabar menghadapi kesukaran hidup, semata-mata nak mempertahankan tanah umat Islam dari dijajah? Bukan satu atau dua orang, tapi hampir keseluruhan rakyat Gaza mempunyai pendirian yang sama dalam perkara ini.
Persoalannya adalah, bagaimana Gaza boleh menghasilkan generasi yang begitu hebat ini? Generasi yang sangat dekat dengan Al-Quran, terdidik dengan akhlak mulia, bercita-cita besar serta berilmu tinggi.
Sebelum menjawab persoalan ini, ada dua hakikat yang perlu kita fahami. Pertama, rakyat Gaza adalah rakyat biasa, bukan semuanya hebat seperti para Sahabat Nabi SAW, ada yang biasa-biasa dan ada juga yang mengkhianati agama.
Hakikat kedua yang perlu kita fahami adalah, memang betul kekuatan dan keteguhan mereka ini datang dari Allah SWT. Namun Allah SWT tidak akan mengirimkan bantuanNya sekiranya mereka tidak mempersiapkan diri dan mengambil segala asbab untuk berjaya. Perkara ini merupakan sunnatullah, bantuan hanya akan datang berkadaran dengan tahap kesediaan sesuatu kaum. Bahkan perkara ini juga bertepatan dengan ayat Al-Quran :
لَّقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا (18)
Maksud : “Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan ketenangan kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”
Berpandukan dua hakikat ini, barulah kita akan dapat fahami bagaimana terbentuknya generasi yang hebat di Gaza. Apa yang kita lihat di dalam berita, kejayaan demi kejayaan, itu cumalah hasil dari proses pencetakan generasi yang panjang yang telah mereka lalui selama puluhan tahun.
Rakyat Gaza telah pun dididik seawal mereka berumur 4-6 tahun, mereka dianggap sebagai nukleus kepada perjuangan pembebasan Palestin. Dan inilah visi As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau menubuhkan institusi seperti Al-Mujamma’ Al-Islami, Al-Jam’iyyah Al-Islamiyyah, dan Persatuan Wanita Muslimat. Ia bukan sekadar tempat asuhan kanak-kanak, tetapi tujuan utamanya untuk menjaga fitrah kanak-kanak daripada pencemaran ideologi luar.
Hasil daripada pelaburan jangka panjang ini adalah lahirnya generasi yang memimpin operasi besar Taufan Al-Aqsa pada tahun 2023 sehingga kini, kebanyakan mereka adalah graduan tadika semenjak tahun 1992. Boleh kita katakan bahawa strategi mereka untuk memenangi pertempuran dengan musuh hari ini telah pun bermula semenjak puluhan tahun dahulu dengan memenangi jiwa kanak-kanak, ini kerana Syeikh Ahmad Yassin percaya bahawa kemenangan memerlukan generasi pejuang yang bersih jiwanya.
Selain daripada itu, rakyat Gaza menjadikan masjid-masjid mereka sebagai institusi komuniti yang mampu mencetak generasi yang berkualiti, bukan sekadar tempat untuk melakukan ibadah khusus. Masjid-masjid di Gaza ibarat sarang lebah, ia tempat yang aktif selama 24 jam, pelbagai program-program yang menarik minat kanak-kanak dilaksanakan, pelbagai jawatankuasa juga ditubuhkan untuk melibatkan orang ramai dalam usaha memakmurkan masjid setiap hari.
Setiap individu yang solat di masjid dianggap sebagai ahli keluarga masjid tersebut, mereka dididik dengan prinsip “Rahiban fi al-Lail, Fursanan fi al-Nahar” (Ahli ibadah di waktu malam, pahlawan di waktu siang). Tidak keterlaluan kalau kita mengatakan bahawa mereka lebih banyak menghabiskan masa di masjid berbanding di rumah, dan ia dilakukan dengan hati yang penuh rela kerana mereka memang gemar pergi ke masjid.
Perkara yang paling utama yang menyumbang ke arah pembinaan generasi Gaza adalah, setiap masjid pasti mempunyai kelas-kelas Al-Quran. Kerana mereka percaya bahawa tidak ada masyarakat muslim yang mampu melakukan perubahan sekiranya pergerakan mereka tidak bertitik tolak daripada Al-Quran. Al-Quran yang tertanam di dalam jiwa mereka inilah yang akan mampu menguatkan hati mereka, menguatkan aqidah mereka, dan menguatkan prinsip mereka ketika berusaha membangunkan negara dan ketika berhadapan dengan musuh.
Banyak lagi rahsia-rahsia kemenjadian generasi Gaza yang tidak dapat diceritakan di sini, namun cukuplah dua rahsia besar ini sebagai panduan untuk kehidupan bermasyarakat kita.
Akhir kata, didiklah anak-anak kita dengan Al-Quran dan akhlak Islam semenjak mereka kecil, bak kata pepatah melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun perlu diingat, pendidikan mereka tidak akan sempurna tanpa adanya usaha untuk melindungi mereka dari anasir-anasir luar yang merosakkan. Oleh itu, bawalah mereka pergi ke masjid dan hidupkan kecintaan mereka terhadap masjid kerana masjid merupakan kubu bagi masyarakat kita dari ancaman-ancaman luar.