“Sungguh, Rasanya Seperti Kami Dilahirkan Semula” – Penduduk Gaza

KHAN YOUNIS: Penduduk Palestin di selatan Gaza, meraikan perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan perang selama dua tahun di wilayah itu.

Sekumpulan anak muda melaungkan “Allahu Akbar” di luar Hospital Nasser, Khan Younis, dengan seorang daripada mereka dilihat mendukung rakannya manakala seorang lelaki memakai rompi media turut kelihatan diangkat oleh orang ramai sambil bercakap ke arah mikrofon.

“Syukur kepada Tuhan atas gencatan senjata ini, syukur kerana berakhirnya pertumpahan darah dan pembunuhan.

“Saya bukan satu-satunya yang gembira — seluruh Semenanjung Gaza gembira, seluruh dunia Arab turut gembira dengan gencatan ini. Terima kasih dan kasih sayang kepada semua yang berdiri bersama kami dan membantu menghentikan pertumpahan darah. Kasih dari Gaza untuk anda semua ,” kata Abdelmajid Abedrabbo, penduduk Gaza selatan.

Israel dan Hamas, hari ini bersetuju untuk menandatangani perjanjian gencatan senjata Gaza yang dijangka akan membebaskan baki tebusan yang masih hidup dalam tempoh beberapa hari ini.

Ia menjadi satu langkah penting ke arah menamatkan perang yang sudah meragut puluhan ribu nyawa dan mencetuskan krisis kemanusiaan besar-besaran.

“Walaupun kami kehilangan insan tersayang, dilukai dan diuji dengan kematian saudara serta rakan-rakan, tetapi hari ini, kami tetap gembira.

“Saya kehilangan sepupu, beberapa rakan, dan seminggu lalu datuk yang saya kasihi meninggal dunia. Namun, hari ini walau dengan segala kehilangan semuanya, kami tetap gembira,” kata Ayman al-Najjar kepada AFP di Khan Younis.

Seorang lagi penduduk, Khaled Al-Namnam, 26 tahun, yang kini berpindah di Al-Maghzai, Gaza tengah, berkata beliau tidak menyangka akan mendengar berita gembira itu.

“Tiba-tiba, saya terjaga pagi tadi dengan berita yang amat indah… semua orang bercakap mengenai berakhirnya perang, bantuan yang akan masuk, dan lintasan sempadan yang akan dibuka. Saya berasa sangat bahagia.

“Perasaan ini sukar digambarkan, selepas dua tahun pengeboman, ketakutan, keganasan dan kelaparan. Sungguh, rasanya seperti kami dilahirkan semula ,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

PBB Lancar Pelan Bantuan 60 Hari Untuk Pulihkan Gaza

Next Post

Doktor Tanpa Sempadan Desak Bantuan Segera Disalurkan Ke Gaza

Related Posts