Tamatkan Segera Sekatan Ke Atas Gaza – GCC

RIYADH: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyatakan kecaman dan penolakan tegas terhadap sekatan berterusan lagi tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang di Gaza.

Majlis juga mengutuk tekanan yang dikenakan oleh tentera pendudukan Israel ke atas Semenanjung Gaza serta tindakan menghalang kemasukan semua bentuk bantuan kemanusiaan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Setiausaha Agung GCC Jasem Mohamed Albudaiwi menegaskan bahawa sekatan itu telah menyebabkan malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing.

Beliau berkata krisis iti terserlah melalui penularan kebuluran serta kehabisan bekalan makanan dan perubatan.

Ia sekali gus menjadi pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva dan prinsip hak asasi manusia, selain cabaran terang-terangan terhadap masyarakat antarabangsa.

Albudaiwi menegaskan bahawa GCC meletakkan pihak berkuasa penjajah Israel sebagai bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi kemanusiaan yang berterusan di Semenanjung Gaza, termasuk dasar kebuluran kolektif yang dilakukan ke atas saudara-saudara mereka di Gaza.

“Tindakan ini merupakan jenayah perang yang menyeluruh dan memerlukan akauntabiliti segera daripada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk semua negara, institusi dan pertubuhannya supaya segera bertindak tegas untuk menghentikan sekatan kejam ini, menghentikan jentera pembunuhan dan kebuluran.

Pada masa sama, pastikan kemasukan bantuan kemanusiaan segera, membuka lintasan sempadan tanpa berlengah dan menyelamatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah daripada bencana.

Selain itu, Setiausaha Agung GCC turut mengulangi pendirian teguh negara-negara anggota GCC dalam menyokong hak rakyat Palestin yang sah.

“Termasuklah hak mereka untuk hidup bermaruah, bebas, menentukan nasib sendiri dan mencapai keamanan yang adil serta berkekalan selaras dengan resolusi kesahihan antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

93 Lagi Terbunuh Dalam Insiden Agihan Bantuan Di Gaza

Next Post

Angka Korban Di Gaza Lebih 59,000 Orang, Kini Israel Sasar Deir al-Balah Pula

Related Posts