
Seperti mana-mana tentera di dunia ini akan melalui fasa war fatigue sepanjang perang, khususnya dalam konflik yang berpanjangan di samping faktor-faktor lain yang mempengaruhi. Maka, hal ini juga turut dialami oleh Tentera Penjajah Israel (IOF). Mereka hakikatnya menghadapi pelbagai krisis sepanjang tempoh Taufan al-Aqsa berlangsung. Antara krisis yang paling utama adalah krisis kekurangan sumber manusia.
Operasi Taufan al-Aqsa realitinya telah memberi kesan langsung kepada mereka, yang sebelum ini tidak pernah dapat mereka jangkakan dek logik akal. Hal ini kerana kumpulan pejuang menggunakan beberapa taktik yang boleh menyebabkan pihak musuh mengalami kerugian besar dalam kebanyakan operasi yang dilancarkan. Sementara kerugian yang dialami di pihak pejuang sendiri biasanya munasabah, melihatkan keupayaan dan kekuatan yang mereka miliki. Berikutan krisis yang dihadapi dalam konflik berpanjangan ini, pihak rejim dilihat terpaksa mengambil langkah mengerahkan golongan Haredi (ultra-Ortodoks) untuk menyertai pasukan tentera, meskipun ia merupakan langkah yang ditentang sebahagian pihak kerajaan rejim sementara sebahagian lagi menyokongnya.
Bekas Ketua Staf Tentera Israel (IOF), Herzi Halevi sebelum ini membuat beberapa kenyataan berkenaan keperluan mendesak merekrut anggota baharu bagi mengukuhkan pasukan tentera termasuklah pasukan simpanan. Sementara itu, Ketua Staf semasa, Eyal Zamir pula mengeluarkan kenyataan serius yang telah menimbulkan tentangan daripada ramai pihak menteri kerajaan haram, dengan menyatakan bahawa tentera Israel akan ‘runtuh’ dari dalam jika proses pengambilan anggota baharu tidak dilaksanakan segera. “I am raising 10 red flags before the IOF collapses into itself,” ujar Zamir ketika dalam satu mesyuarat kabinet, lapor The Jerusalem Post.
Kenyataan-kenyataan ini dibuat ketika tentera rejimnya sedang berperang di beberapa medan serentak, yang secara dasarnya ia bertentangan dengan doktrin keselamatan Israel (yang sering dirujuk sebagai Ben-Gurion Security Concept) menurut Institute for National Security Studies (INSS) yang berasaskan tiga komponen utama, iaitu deterrence (pencegahan), early warning (amaran awal) dan decisive victory (kemenangan atau penyelesaian cepat).
Realitinya, pada subuh 7 Oktober, rejim Israel telah kehilangan komponen sekuriti pencegahan dan amaran awal kerana mereka gagal meramalkan operasi yang bakal dilancarkan oleh kumpulan pejuang Palestin lalu memutuskan keputusan berdasarkan amaran yang ada. Pelaksanaan operasi berskala besar ini membuktikan bahawa kumpulan pejuang Palestin tidak gentar atau pengecut seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu. Sebaliknya, mereka bertindak secara sangat halus dengan perancangan strategik yang lebih teliti.
Akhirnya, komponen decisive victory (kemenangan atau penyelesaian cepat) yang menekankan keperluan untuk mengelakkan perang berlarutan serta memindahkan medan konflik ke wilayah musuh, dilihat gagal direalisasikan. Hal ini berpunca daripada kekangan geografi wilayah tersebut yang tidak memiliki kedalaman strategik, di samping keengganan untuk memanjangkan tempoh perang kerana kesukaran memperoleh sokongan serta persetujuan antarabangsa bagi konflik jangka panjang. Justeru, perkembangan ini menunjukkan bahawa hampir kesemua komponen doktrin keselamatan Israel hakikatnya tidak berfungsi bahkan sia-sia.
Selain itu, asas yang menjadi tunjang kelestarian wilayah haram Israel sejak penubuhannya pada tahun 1948 sehingga sekarang, yang menurut David Ben-Gurion adalah konsep ‘tentera rakyat’, yang bermaksud semua rakyat adalah tentera. Kenyataan ini hakikatnya satu ‘arahan’ wajib dan pasukan simpanan dirujuk sebagai tonggak utama keupayaan ketenteraan. Pun begitu, prinsip ini semakin ranap dari semasa ke semasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat perubahan struktur politik dan sosial masyarakat haram Israel, khususnya selepas Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan.
Masyarakat haram Israel kini berdepan konflik perpecahan sosial yang ketara antara aliran sekular dan agamawan, khususnya berkaitan isu kerahan tentera. Sebahagiannya berpunca daripada pendirian golongan Yahudi Haredi yang menolak untuk menyertai perkhidmatan ketenteraan. Malah mereka mengehadkan peranan dan fungsi mereka hanya kepada pembelajaran agama dan urusan keagamaan lain semata. Oleh kerana itu, disebabkan kecenderungan mereka untuk mengutamakan kepentingan individu berbanding kepentingan ‘negara’ telah menyebabkan trend kepercayaan terhadap institusi jatuh menurun. Bahkan hal ini telah mendedahkan kerapuhan kontrak sosial antara ‘negara’ dan masyarakat. Selain itu, terdapat sebahagian besar rakyat haram Israel yang melihat peperangan yang dilancarkan sejak bermulanya Taufan al-Aqsa sebagai perang yang hanya menguntungkan Benjamin Netanyahu, bukannya demi kepentingan ‘negara’ mereka.
Dari sudut operasi, perang semasa telah mendedahkan keterbatasan keupayaan IOF dalam melaksanakan operasi ketenteraan berskala besar dan memasuki kancah peperangan menyeluruh tanpa sokongan langsung daripada Amerika Syarikat (AS). Mereka juga mengalami kekurangan kelengkapan perang yang mana hal ini dapat dilihat sewaktu mereka terdesak memerlukan jentera jenis D9 selepas ia dihentikan bekalan oleh Presiden AS ketika itu, Joe Biden. Mereka turut mengalami krisis kekurangan pakej bantuan ketenteraan meliputi bekalan bom berat dan bom berketepatan tinggi selepas ianya dihentikan oleh pihak AS. Hal ini justeru telah mendorong Netanyahu untuk mempertimbangkan dasar berdikari, agar tidak bergantung pada mana-mana kuasa besar yang berpotensi membataskan tindakannya dalam perang semasa atau dalam mana-mana konflik akan datang.
Walau bagaimanapun, dengan berlakunya peningkatan ketegangan di Tebing Barat dan ketumbukan keupayaan Hizbullah yang kembali kuat, ianya berlaku seiring dengan pelbagai operasi ketenteraan yang mereka lancarkan menyasarkan pasukan tentera rejim Israel di selatan Lubnan menggunakan peluru berpandu, serta serangan ke atas wilayah haram Israel dengan roket berkuasa tinggi. Semua perkara ini berlaku sekaligus meskipun mereka telah menerima pelbagai serangan sama ada dari sudut ketenteraan mahupun keselamatan sejak penglibatan mereka dalam peperangan pada 8 Oktober 2023, sebagai sokongan kepada Gaza dalam menghadapi konflik yang berlangsung.
Justeru itu, keadaan ini telah memaksa pasukan tentera rejim menyusun kekuatan pasukannya di banyak medan berdasarkan keperluan strategi serangan, yang akhirnya mengakibatkan keletihan sumber manusia (manpower) secara cepat dan signifikan, khususnya dalam kalangan pasukan simpanan. Namun, semakin panjang tempoh mobilisasi pasukan simpanan ternyata telah mendedahkan kerapuhan keupayaan mereka untuk kekal lebih lama di medan kerana mereka bukanlah tentera tetap. Sebaliknya, mereka adalah individu yang terikat dengan pekerjaan hakiki masing-masing. Tentera simpanan ini nyatanya merupakan individu yang bekerja dalam pelbagai sektor awam. Akibatnya, banyak sektor yang terjejas teruk kerana tempoh pengerahan tentera simpanan melibatkan tempoh yang panjang.
Selain itu, tempoh peperangan yang panjang turut mencerminkan penurunan tahap kesiapsiagaan dan disiplin, selain peningkatan kadar keletihan fizikal dan psikologi di mana dalam sesetengah kes menjadi faktor pendorong sebahagian tentera untuk bertindak bunuh diri, akibat daripada tekanan dan trauma yang dilalui sepanjang perang.
Dari perspektif strategik, krisis ini boleh difahami dalam kerangka pelumpuhan perang secara berlapis (compound war of attrition) di mana ianya merujuk kepada usaha melemahkan pihak musuh secara berterusan melalui pelbagai tekanan serentak — bukan hanya di medan perang, tetapi juga dari segi ekonomi, psikologi, sosial dan politik; yang dilancarkan oleh kumpulan-kumpulan pejuang, yang bukan sahaja bertujuan merugikan pihak musuh di medan, tetapi juga melemahkan mereka dalam tempoh jangka panjang. Dalam konteks ini, HAMAS muncul sebagai aktor utama dalam membentuk semula aturan pertempuran di medan, dengan memperkenalkan persamaan baharu yang berasaskan tempoh perang yang panjang, peluasan skalanya serta pelumpuhan sumber manusia, ekonomi dan psikologi pihak rejim penjajah.
Dalam hal ini, kekurangan jumlah tentera tidak hanya dinilai dari sudut kuantiti, tetapi turut melibatkan dimensi kualitatif yang lebih membimbangkan. Hal ini kerana, seorang tentera yang terlibat dalam peperangan panjang di bawah tekanan berterusan, dengan objektif strategik yang jelas-jelas tidak jelas, akan menyebabkan mereka kehilangan motivasi dan semangat sedikit demi sedikit. Akhirnya, perkara ini akan memberi kesan langsung kepada prestasi mereka di medan tempur. Tambahan pula, kekalahan dan kegagalan yang berulang akan menghakis keyakinan para tentera terhadap kepimpinan tentera dan politik mereka.
Dalam konteks ini, krisis sumber manusia bertindih pula dengan krisis yang lebih mendalam berkaitan komponen deterrence — daya pencegahan Israel, yang disebutkan sebelum ini. Apa yang berlaku selepas Operasi Taufan al-Aqsa telah memperlihatkan keterhadan komponen atau model tersebut, apabila kumpulan tentera rejim gagal mencapai kemenangan dan terjerumus ke dalam perang berpanjangan yang tidak dipersiapkan dari segi struktur sumber manusia mahupun kelengkapan perang.
Perubahan ini dilihat mempunyai implikasi strategik jangka panjang, kerana ia membawa kepada terhakisnya imej IOF sebagai sebuah kuasa yang tidak dapat dikalahkan, yang mana itulah imej yang selama ini memainkan perananan penting dalam mengekalkan daya pencegahan selama beberapa dekad. Dengan kemerosotan imej ini, aktor bukan negara yang ada menjadi lebih berani dan skop ancaman turut bertambah luas, sekali gus meletakkan rejim Israel berdepan cabaran keselamatan yang lebih kompleks.
Di satu sisi yang lain pula, krisis ini juga tidak dapat dipisahkan daripada konteks ekonomi. Pengerahan sejumlah besar tentera simpanan menyebabkan gangguan terhadap pelbagai sektor produktif, yang seterusnya memberi impak negatif terhadap ekonomi. Dengan peningkatan kos peperangan serta penurunan pelaburan, ianya menjadi semakin sukar bagi negara untuk mengekalkan tahap perbelanjaan ketenteraan yang diperlukan tanpa menjejaskan kestabilan dalaman.
Selain itu, dimensi psikologi turut memainkan peranan penting dalam memperdalam krisis ini. Perang yang berpanjangan turut mengakibatkan perasaan cemas dan kecewa dalam kalangan masyarakat haram Israel semakin meluas dan kritikal, khususnya ancaman keselamatan yang berterusan serta ketidakjelasan halatuju penyelesaian. Iklim psikologi ini seterusnya memberi kesan terhadap kesediaan untuk menyertai perkhidmatan ketenteraan, serta meningkatkan fenomena pengelakan atau keengganan untuk berkhidmat dalam ketenteraan.
Berdasarkan data dan situasi yang dinyatakan sebelum ini, boleh dikatakan bahawa IOF kini berdepan cabaran struktur yang kompleks, yang bukan sekadar mengalami krisis kekurangan tenaga manusia, tetapi merupakan krisis terhadap model ketenteraan itu sendiri. Model yang sebelum ini bergantung pada kelebihan kualitatif, sokongan Barat dan mobilisasi masyarakat tidak lagi mampu memberikan respons yang berkesan terhadap persekitaran keselamatan yang semakin berubah, yang dicirikan oleh aktor yang pelbagai, pertindihan medan konflik serta peningkatan peranan peperangan tidak konvensional.
Sekiranya krisis ini berterusan tanpa penyelesaian asas, ia boleh mendorong rejim Israel untuk menilai semula doktrin ketenteraannya, malah mungkin beralih kepada model yang lebih bergantung kepada teknologi seperti dron dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) bagi mengimbangi kekurangan tenaga manusia. Namun, perubahan ini walaupun penting, ianya tidak boleh menjadi pengganti sepenuhnya kepada peranan tentera di lapangan, khususnya dalam peperangan bandar dan konflik yang tidak seimbang.
Dalam masa yang sama, perubahan ini juga menjadi peluang strategik kepada kumpulan-kumpulan pejuang yang kini memahami bahawa konflik ini bukan lagi sekadar pertempuran ketenteraan secara langsung, tetapi merupakan perjuangan jangka panjang. Melalui kesinambungan strategi keletihan musuh, pihak-pihak ini boleh memperdalam krisis dalaman pihak lawan dan memaksanya menerima persamaan serta realiti baharu dalam konflik tersebut.
Sebagai kesimpulannya, krisis sumber manusia dalam IOF selepas Operasi Taufan al-Aqsa boleh dilihat bukan sekadar sebagai kecacatan taktikal, tetapi sebagai petunjuk kepada perubahan strategik yang mendalam dalam struktur konflik itu sendiri. Dengan semakin terhakisnya keupayaan untuk mencapai kemenangan cepat serta merosotnya kesiapsiagaan sumber manusia, pihak penjajah berdepan dengan satu persamaan baharu yang memerlukan penakrifan semula konsep keselamatan dan pencegahan. Dalam keadaan perubahan ini, konflik dilihat memasuki fasa yang lebih kompleks, di mana faktor dalaman memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya berbanding faktor di medan perang dalam menentukan hala tuju serta hasil akhirnya.
Sumber: Naim Ashraf Mushtaha, Cinta Gaza Malaysia