Tiga Wartawan Di Gaza Terkorban Akibat Serangan Udara Israel

BANDARAYA GAZA / ISTANBUL: Sebelas rakyat Palestin, termasuk tiga wartawan, terkorban dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza dalam pelanggaran terbaharu perjanjian gencatan senjata.

Laporan agensi berita Anadolu Ajansi memetik kenyataan Kementerian Kesihatan, enam lagi individu cedera dalam serangan yang menyasarkan pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza, namun tidak memperincikan lokasi serangan atau identiti mangsa.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh memberitahu Anadolu tiga wartawan adalah antara yang terkorban dalam serangan Israel di selatan Gaza.

Saksi sebelum ini berkata tentera Israel membedil bahagian timur Bandar Deir al-Balah, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, di tengah-tengah pelanggaran harian Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober.

Serangan udara itu turut menyasarkan kawasan kejiranan di timur Bandaraya Gaza.

Sumber perubatan pula menyatakan tiga lagi mangsa terkorban di Bandaraya Gaza dan tiga lagi di selatan Gaza.

Sumber tempatan melaporkan dua letupan kuat menggegarkan utara Gaza dan Bandaraya Gaza selepas tentera Israel merobohkan baki bangunan serta kemudahan di timur kawasan Sheikh Zayed di utara.

Kapal Tentera Laut Israel turut melepaskan tembakan mesingan ke arah pantai Bandaraya Gaza, manakala sebuah helikopter dan kenderaan tentera melepaskan tembakan di bahagian timur bandar berkenaan.

Di selatan Gaza, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah kawasan timur Khan Younis, menurut saksi.

Tentera Israel terus menguasai zon penampan di selatan dan timur Gaza, serta sebahagian besar utara Gaza, dengan menduduki lebih 50 peratus wilayah berkenaan.

Kempen ketenteraan Israel sejak Oktober 2023, yang berlarutan selama dua tahun, mengorbankan lebih 71,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.

Sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober 2025, serangan Israel mengorbankan 483 rakyat Palestin dan mencederakan 1,287 yang lain, manakala Israel menyekat ketat kemasukan bekalan makanan, peralatan perlindungan dan bantuan perubatan ke Gaza, di mana kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin hidup dalam keadaan daif.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

70 Peratus Bekalan Air Gaza Terjejas Akibat Kerosakan Infrastruktur – PBB

Next Post

Keadaan ‘Amat Kejam’, Kelangsungan Hidup Penduduk Gaza Di Ambang Kehancuran – PBB

Related Posts