Trump & Netanyahu Berunding Di Rumah Putih, Bincang Gencatan Senjata Gaza

WASHINGTON/TEL AVIV: Presiden Donald Trump menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih, semalam sewaktu pegawai Israel mengadakan rundingan tidak langsung dengan Hamas bagi mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Lawatan Netanyahu berlangsung selepas Trump meramalkan, satu perjanjian boleh dicapai minggu ini.

Sebelum berlepas ke Washington, pemimpin Israel itu yakin perbincangannya dengan Trump boleh membantu mempercepatkan rundingan yang sedang dijalankan di Doha, Qatar, membabitkan Israel dan kumpulan pejuang Palestin.

Ini adalah pertemuan ketiga secara bersemuka antara Trump dan Netanyahu sejak Trump kembali ke jawatan Presiden pada Januari lalu.

Ia berlaku hanya lebih dua minggu selepas Trump mengarahkan pengeboman tapak nuklear Iran bagi menyokong serangan udara Israel.

Trump kemudiannya mengatakan beliau membantu mengatur gencatan senjata dalam perang Israel-Iran yang berlangsung selama 12 hari.

Trump dan pasukannya kelihatan berusaha memanfaatkan kelemahan Iran — penyokong utama Hamas — untuk menekan kedua-dua pihak mencapai kemajuan dalam perang Gaza yang kini memasuki bulan ke-21.

Trump turut menyatakan hasrat untuk berbincang dengan Netanyahu mengenai kemungkinan perjanjian kekal dengan Iran, musuh utama serantau Israel.

Kedua-dua pemimpin dijadualkan menghadiri makan malam peribadi, bukan pertemuan rasmi di Pejabat Oval seperti kebiasaan dan masih belum jelas mengapa Trump memilih pendekatan lebih bersederhana kali ini.

Setibanya di Washington pada awal pagi Isnin, Netanyahu terlebih dahulu bertemu dengan utusan khas Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff, serta Setiausaha Negara Marco Rubio sebagai persiapan menjelang pertemuannya dengan Presiden.

Beliau turut dijadualkan mengunjungi Capitol Hill pada Selasa untuk bertemu pemimpin Kongres.

Sebelum lawatan itu, Netanyahu memberitahu media, beliau akan mengucapkan terima kasih kepada Trump atas serangan udara ke atas tapak nuklear Iran dan berkata rundingan Israel di Doha sedang digerakkan ke arah perjanjian damai di Gaza.

Pegawai Israel juga berharap hasil konflik dengan Iran akan membuka jalan kepada normalisasi hubungan dengan lebih banyak negara jiran seperti Lubnan, Syria dan Arab Saudi, yang menjadi satu lagi isu yang dijangka dibincangkan bersama Trump.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dunia Harus Bertindak Hentikan Genosid Di Gaza – Presiden Brazil

Next Post

31 Tentera Israel Terbunuh Akibat Ditembak Oleh Rakan Sendiri

Related Posts