Hari ini 572 tahun yang lalu, Constantinople berjaya ditakluk Uthmaniyah pimpinan Sultan Mehmet II (Sultan Muhammad Al Fatih).
Kota Constantinople diasaskan pada tahun 324 oleh Maharaja Rom Constantine I sebagai ibu kota Empayar Byzantine. Selama lebih 800 tahun, kota tersebut teguh menahan pelbagai ancaman, namun semakin melemah pasca kekalahan pada Perang Salib Keempat.
Pada masa sama, kerajaan Orthodoks itu tak mendapat sokongan daripada Barat kerana enggan menyatu dengan Gereja Katolik. Kesempatan diambil Sultan Mehmet untuk menggerakkan angkatannya seramai lebih 100,000 orang untuk mengepung Constantinople.
Maharaja Byzantine, Konstantinos XI Palaeologus hanya punyai tak lebih 10,000 orang tentera, tak cukup untuk disusun sepanjang 19km tembok kota. Mereka serba-serbi kekurangan – infantri, armada laut & persenjataan untuk mendepani ketumbukan Uthmaniyah.
Angkatan Mehmet memiliki sesuatu yang tak pernah dibawa oleh mana-mana musuh Byzantine sebelum itu, yakni meriam. Meriam Uthmaniyah bukan calang-calang, yang terbesar adalah sepanjang 9 meter & berupaya menempak peluru seberat 500kg sejauh 1.5km.
Pada 5 April, Sultan Mehmet menghantar utusan menuntut Konstantinos XI menyerah, namun tak dibalas. Esoknya, Uthmaniyah mula melancarkan serangan. Pada 22 April, baginda mengarahkan armadanya dipindah merentas darat dari Selat Bosphorus ke dalam ‘Golden Horn’.
Selepas 53 hari, pada subuh 29 Mei 1453, Sultan Mehmet mengarahkan serangan habis-habisan dilancarkan. 3 lapisan Dinding Theodosian yang masyhur akhirnya bocor, membolehkan barisan Janissari memasuki kota & menghapuskan tentera musuh yang tersisa.
Konstantinos XI terbunuh dalam pertempuran akhir itu & mayatnya tak ditemukan. Menjelang tengahari, Sultan Mehmet masuk ke kota & mengisytiharkan Hagia Sofia, yang asalnya gereja, ditukar menjadi masjid & Constantinople sebagai ibu kota baharu Uthmaniyah.
Kejatuhan Byzantine itu menandakan berakhirnya riwayat Empayar Rom selepas wujud hampir 1,500 tahun, di tangan Sultan Mehmet yang berusia 21 tahun. Kerana itu baginda digelar ‘al-Fatih’, yang bererti ‘Sang Penakluk’.
Sumber: World History
Kredit: Astro Awani