
HAMILTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 300,000 orang dikesan bergerak dari selatan Gaza ke utara sejak beberapa hari kebelakangan ini selepas pelaksanaan genjatan senjata yang memudahkan pergerakan di seluruh wilayah itu.
Menurut jurucakap PBB, Farhan Haq pada sidang media, sejak Jumaat hingga semalam, hampir 310,000 pergerakan dari selatan ke utara Gaza direkodkan agensi itu, serta sekitar 23,000 pergerakan ke arah lain.
Jelasnya, pasukan kemanusiaan kini lebih mudah bergerak di banyak kawasan, membolehkan bantuan sampai kepada penduduk di tempat-tempat yang terputus hubungan selama beberapa bulan.
Haq turut mengumumkan bahawa Ketua Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher pada hari sama memperuntukkan tambahan US$11 juta daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) untuk meningkatkan operasi kemanusiaan di Gaza menjelang musim sejuk.
Ini susulan peruntukan AS$9 juta minggu lalu bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi demi mengekalkan operasi perkhidmatan penting di seluruh Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan CERF baru-baru ini kepada AS$20 juta.
Di bawah pelan kemanusiaan 60 hari pertama, PBB bersama rakan pelaksana akan menyalurkan bantuan dan perkhidmatan penting kepada penduduk di seluruh Gaza termasuk makanan, air, rawatan kesihatan, tempat perlindungan, barangan kebersihan dan perkhidmatan perlindungan.
Sumber: Buletin Tv3