Israel Ugut Akan Tingkatkan Serangan Terhadap Hizbullah Di Selatan Lubnan

BAITULMAQDIS: Israel pada Ahad memberi amaran bahawa tenteranya akan memperhebatkan serangan terhadap pejuang Hizbullah di selatan Lubnan, sehari selepas Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan empat orang terbunuh dalam serangan udara Israel di daerah Nabatiyeh.

Meskipun gencatan senjata dimeterai pada November 2024, Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima kawasan di selatan Lubnan dan terus melancarkan serangan berkala terhadap sasaran Hizbullah. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan menyifatkan Hizbullah sebagai “bermain dengan api” dan menuduh Presiden Lubnan “berlepas tangan” dalam melaksanakan komitmen untuk melucutkan senjata kumpulan itu.

“Komitmen kerajaan Lubnan untuk melucutkan senjata Hezbollah dan mengusir mereka dari selatan Lubnan mesti dilaksanakan. Penguatkuasaan maksimum akan diteruskan dan bahkan dipertingkatkan — kami tidak akan benarkan sebarang ancaman terhadap penduduk di utara,” tegas Katz.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pula menuduh Hizbullah cuba “mempersenjatakan semula” dan menegaskan bahawa Israel akan menggunakan hak mempertahankan diri seperti yang termaktub dalam perjanjian gencatan senjata. “Kami tidak akan benarkan Lubnan menjadi medan hadapan baharu terhadap kami, dan kami akan bertindak jika perlu,” katanya dalam mesyuarat kabinet mingguan.

Ketegangan di sempadan utara meningkat sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023, yang menyaksikan pejuang Hizbullah melancarkan roket ke wilayah Israel, memaksa ribuan penduduk Israel berpindah dari kawasan sempadan. Konflik itu berlarutan lebih setahun dan memuncak dalam dua bulan peperangan terbuka sebelum gencatan senjata dicapai.

Hizbullah, yang disokong Iran dan menentang kewujudan Israel, dilaporkan mengalami kerugian besar sepanjang konflik, termasuk kehilangan ketuanya Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan Israel pada September 2024. Namun begitu, kumpulan itu masih memiliki kekuatan ketenteraan dan sumber kewangan yang kukuh. — AFP

Sumber: Buletin TV3

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kanak-Kanak Gaza Mula Kembali Ke Sekolah Secara Berperingkat

Next Post

Serangan Terbaru Israel Di Selatan Lubnan Ragut 4 Nyawa

Related Posts