
GAZA: Sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat serangan tentera Israel, walaupun gencatan senjata selama enam minggu masih berkuat kuasa.
Kejadian berlaku ketika sebuah kumpulan bersenjata Palestin mengumumkan penemuan mayat seorang lagi tawanan di wilayah yang musnah akibat perang itu.
Antara mangsa yang terbunuh semalam termasuk seorang lelaki Palestin yang maut selepas serangan dron di bandar selatan Bani Suhaila, iaitu di kawasan yang dikuasai tentera Israel di luar garisan yang dikenali sebagai “Yellow Line”.
Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak Palestin terbunuh di utara Bandar Gaza apabila bahan letupan yang ditinggalkan oleh tentera Israel meletup, menurut Pertahanan Awam wilayah itu.
Kumpulan bersenjata Palestin menyatakan beberapa kanak-kanak lain turut cedera, dengan sebahagian daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Al Jazeera melaporkan serangan Israel berterusan sepanjang hari, dengan serangan artileri, udara dan bedilan helikopter di bahagian utara dan selatan wilayah berkenaan.
Di Beit Lahiya, tembakan Israel menyasarkan beberapa kawasan di luar garisan Yellow Line manakala di selatan, kereta kebal dan helikopter menyasarkan wilayah di timur laut Rafah dan bandar pinggir Khan Younis.
Terdapat serangan meluas Israel di luar garisan Yellow Line yang membawa kepada kemusnahan sistematik kawasan kejiranan di timur Gaza.
Berdasarkan keterangan keluarga mangsa, serangan yangmenunjukkan percobaan sistematik untuk memusnahkan kawasan kejiranan Gaza dan mewujudkan zon penampan, menjadikan kawasan ini sama sekali tidak boleh didiami, yang menyukarkan keluarga untuk kembali.
Di tengah Gaza, pasukan pertahanan awam, yang beroperasi dengan sokongan polis dan Palang Merah, menemui mayat lapan anggota sekeluarga dari runtuhan rumah mereka di kem Maghazi, lapor agensi berita Palestin Wafa.
Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan jumlah mayat yang ditemui sejak gencatan senjata bermula kini mencecah 582, manakala lebih 9,500 penduduk Palestin masih hilang di bawah runtuhan daerah yang dibom.
Sumber: Berita Harian