
Ada satu soalan yang saya selalu tertanya-tanya apabila melihat pemimpin-pemimpin besar.
Adakah mereka ini manusia biasa seperti kita? Adakah mereka juga rasa penat? Adakah mereka juga bermain dengan anak mereka? Dan agaknya adakah mereka juga ada masalah keluarga?
Bila saya dengar cerita tentang Ismail Haniyeh dari anaknya sendiri, Abd al-Salam, baru saya faham. Beliau juga manusia biasa, bezanya beliau membuat pilihan hidup yang luar biasa.
Anak Kecil Pembawa Lampu
Untuk memahami Ismail Haniyeh, kita kena faham dari mana dia bermula.
Sejak umur 4 tahun, beliau sudah bangun awal pagi menemani datuknya, Hajj Abd al-Salam ke masjid untuk solat Subuh. Kem pelarian Al-Shati’ pada tahun 70-an tiada elektrik, maka beliau akan membawa lampu minyak menerangi jalan datuknya dalam kegelapan pagi. Anak kecil dengan lampu minyak di tangan ditemani datuknya kegelapan berjalan menuju masjid setiap subuh. Itulah benih pertama yang ditanam jauh sebelum dunia mengenali siapa Ismail Haniyeh.
Datuknya juga kerap membawa beliau ke zawiyah berdekatan untuk berzikir dan bernasyid memuji Nabi. Di situ suaranya yang merdu dilatih, dan kecintaannya terhadap agama berakar. Di rumah pula, radio sentiasa terpasang siaran Al-Quran dari Mesir. Nama-nama seperti Sheikh Al-Hussary, Sheikh Abdul Basit, Al-Minshawi, dan Al-Tablawi menjadi teman tidur dan teman bangunnya sejak kecil. Tidak hairanlah pada usia 13 atau 14 tahun, beliau sudah menjadi imam solat dan berkhutbah di hadapan Jemaah masjid.
Lelaki Al-Quran
Hubungan beliau dengan Al-Quran tidak terhenti pada sekadar hafalan. Beliau menghafal Al-Quran sejak kecil dan memegang sanad bacaan yang bersambung hingga ke Rasulullah SAW. Anaknya juga menegaskan bahawa sepanjang hayat bapanya, tidak pernah sekalipun wird harian Al-Quran itu ditinggalkan. Walaupun ketika mengurus hal ehwal negara, ketika menghadapi tekanan musuh, ketika menerima berita kehilangan orang tersayang, tetaplah hak harian Al-Quran itu ditunaikan.
Dan dengan al-Quran jugalah terikat hubungan beliau dengan pengawal peribadinya, Wasim Abu Sha’ban. Setiap hari tanpa putus Wasim akan menyemak bacaan Al-Quran beliau. Seolah-olah beliau merupakan pengawal keselamatan badan dan rohani tuannya.
Solat Malam Dalam Kesakitan
Menurut Abd al-Salam, dia percaya bahawa bapanya hampir tidak pernah meninggalkan solat Qiamullail sepanjang hidupnya. Samada ketika senang, ketika susah, ketika bermusafir, ketika dipenjarakan.
Pernah suatu keadaan ketika beliau dalam tahanan Israel, tangan beliau diikat di kerusi, kepalanya disarung dengan guni dan dalam keadaan itu beli disoal siasat. Sesi yang kejam ini berlangsung selama berbulan-bulan dan yang ajaibnya adalah dalam keadaan terseksa itu, beliau tetap menunaikan solat malam samada dalam keadaan duduk, atau terikat, mahupun dalam keadaan sakit.
Sehinggakan pada malam-malam terakhir sebelum beliau syahid, beliau menghabiskan masa dengan solat malam. Seolah-olah beliau mempunyai firasat khusus lalu mencari ketenangan di sisi tuhannya pada sepertiga malam. Tabiat ini tidak dilakukannya secara terpaksa mahupun dibuat-buat tetapi ia sudah jadi sebahagian dari nafasnya.
Tinggal di Kem Pelarian
Sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2006, beliau mengumpulkan isteri dan anak-anaknya. Bukan untuk raikan kejayaan tetapi untuk menetapkan garis merah.
Pesan beliau kepada mereka: “Kamu akan didatangi orang ramai kerana jawatan ayah. Ingat, kamu tetap anak-anak Kem Pelarian Al-Shati’.Maka jangan ambil kesempatan.”
Dan perkara ini betul-betul beliau pegang kerana beliau Bersama keluarganya tetap tinggal di kawasan beliau tinggal iaitu Kem Pelarian Al-Shati’. Kem pelarian, tempat yang kebanyakan orang nak keluar darinya sekiranya diberi peluang. Namun beliau pilih untuk kekal di sana.
Sebabnya mudah, beliau mahu sentiasa dekat dengan penderitaan rakyatnya. Tidak mahu ada dinding pejabat yang pisahkan beliau dengan realiti harian mereka. Berapa ramai pemimpin yang kita kenal sanggup memilih cara hidup begini? Berapa ramai yang bila sudah berkuasa, masih nak duduk sama tinggi dengan rakyat biasa?
Dan anak belau sendiri mendedahkan bahawa walaupun beliau -Abd al-Salam- telah bekerja dalam kerajaan sejak zaman Yasser Arafat, bapanya enggan menandatangani sebarang kenaikan pangkat untuknya selama bertahun-tahun semata-mata kerana tidak mahu timbul fitnah nepotisme.
Kesederhanaan di Meja Makan
Ismail Haniyeh merupakan seorang yang sederhana dalam pemakanannya. Sarapan kegemarannya adalah keju tiga segi, jem aprikot, telur rebus, dan minyak zaitun. Makan malamnya pula sering kali sekadar falafel dan yogurt. Beliau tidak pernah cerewet. Tidak pernah meminta hidangan istimewa. Makan apa sahaja yang dimasak isterinya dengan rasa syukur.
Seorang pemimpin yang mengurus hal ehwal negara di siang hari, tapi malamnya makan falafel seperti orang biasa.
Sifat zuhud ini turut zahir dalam hubungannya dengan rakyat. Beliau dikenali sebagai “Jaber al-Khawatir” pemujuk hati orang. Apabila melihat penderitaan rakyat Gaza di kaca TV, beliau akan menangis teresak-esak. Hatinya terlalu lembut untuk berdiam diri.
Pernah satu ketika sebelum Hari Raya, beliau begitu risau memikirkan pekerja kerajaan yang tidak mendapat gaji. Beliau berusaha keras menghubungi pelbagai pihak sehingga berjaya mendapatkan dana pada saat akhir — semata-mata untuk melihat rakyatnya gembira menyambut raya.
Isteri yang Menjadi Perisai
Hubungan beliau dengan isterinya Ummu Abd al-Salam digambarkan penuh mawaddah. Ismail Haniyeh sering mencium kepala isterinya, dan isterinya akan membalas dengan mencium tangan suaminya.
Pada bulan-bulan terakhir sebelum syahidnya, isterinya enggan berpisah walau selangkah. Di tempat penginapan mereka, Ummu Abd al-Salam akan baring rapat ke tingkap manakala suaminya akan baring di bahagian dalam. Apabila anaknya bertanya beliau akan berkata: “Jika berlaku serangan peluru berpandu, biar ia kena pada ibu dahulu!”
Isterinya juga pernah menyatakan hasrat: “Jika saya syahid, saya mahu syahid bersama awak.” Namun berliau sering dipujuk dengan mengatakan bahawa anak-anak masih memerlukan beliau, dan sehingga kini hasrat itu tidak pernah padam dari hatinya.
Isterinya juga memainkan peranan sebagai tulang belakang suaminya. Sewaktu Ismael Haniyeh dibuang ke Marj al-Zuhur, ibunya memikul tanggungjawab penuh membesarkan anak-anak dan mengurus rumah tangga dengan penuh ketabahan. Pasangan ini bukti hidup cinta yang dibina atas dasar akidah dan perjuangan serta kesediaan untuk mati bersama.
60 Orang
Keluarga Haniyeh ini sepanjang perang Taufan al-Aqsa sudah kehilangan lebih 60 ahli keluarga termasuk anak, cucu, dan saudara-mara.
60 orang jika dilihat bukanlah angka yang kecik. Jika hendak dibandingkan dengan kita jika berlaku kehilangan seorang ahli keluarga pun, dunia kita rasa runtuh. Tapi mereka yang sudah kehilangan 60 orang masih tetap berdiri dan terus berjuang. Dari mana datangnya kekuatan ini?
Kekuatan itu datang dari “bateri” rohani yang dicas setiap malam melalui Qiamullail dan bacaan Al-Quran yang tidak pernah putus sejak beliau kecil membawa lampu minyak di pagi hari yang gelap sehingga beliau syahid.
Saya melihat, Ismail Haniyeh mengajar kita bahawa pembinaan seorang pemimpin itu bermula jauh sebelum beliau menang pilihanraya. Ia bermula dari memikul lampu minyak dalam kegelapan subuh menuju masjid, dari kesederhanaan di meja makan, dari menyantuni isteri dan anak-anak serta dari wirid al-Quran dan solat malam yang tidak pernah putus.
Beliau juga buktikan bahawa pemimpin berjiwa rakyat bukanlah yang dijaga rapi dalam pejabatnya tetapi yang duduk bersama rakyat. Merasakan apa yang dirasai rakyat, dan bersusah-susah sebagaimana rakyat juga merasa susah.
Mereka tidak menyuruh rakyat berkorban sementara mereka selamat. Malah mereka dan keluarga mereka yang pertama berkorban, anak mereka yang pertama syahid dan rumah mereka yang pertama dibom.
Jika mahu mencari pemimpin yang menggabungkan nilai politik, jihad, dan akhlak, beliaulah orangnya.
Beliau buktikan yang kepimpinan itu melebihi nilai kuasa, kemewahan, dan populariti. Ia mepakan pengorbanan, Amanah, dan hidup mati untuk sesuatu yang lebih besar.
Moga Allah rahmati Ismail Haniyeh, Wasim Abu Sha’ban, dan semua syuhada Palestin. Moga Allah berikan kekuatan kepada keluarga-keluarga mereka yang masih berdiri teguh. Dan moga Allah buka mata hati kita untuk faham erti sebenar kepimpinan dan pengorbanan.