Siri 5 | Disiplin MASJID Ke MEDAN PERANG : Disiplin Ketat Melahirkan Peribadi Pejuang

Sejak kecil, kanak-kanak Gaza bukan dibesarkan dengan slogan. Dia dibesarkan dengan “Jalan Allah”.

Saya panggil perkara yang dibuat semasa pembesaran budak itu “Jalan Allah”, yang disebut dalam bahasa arab: Sabilillah.
Sebab, besar nanti mereka akan “berjihad fi sabilillah”.

Dia tak akan mudah untuk berjihad fi sabilillah tiba-tiba bila sudah besar nanti.

Mereka sebenarnya sudah lama dilatih untuk berada “di Jalan Allah” (fi sabilillah).

Apakah “Jalan Allah”?
Jawapannya adalah: Masjid.

Kanak itu bila umurnya 5-6 tahun, ayah dia, pakcik, atau abang dia, akan pegang tangan budak tu, bawa dia pergi ke masjid.

Ya..

Masjid lah “Jalan Allah” yang pertama.

Sebab apa?

1.PERIBADI ISLAMIAH

Di masjid, dia akan belajar erti adab.

Adab kepada Tuhan.
Adab kepada agama.
Adab terhadap diri sendiri.
Adab kepada Imam dan guru.
Adab kepada orang yang lebih tua.
Adab pada rakan-rakan.
Adab pada keramaian.

Di masjid, dia mengenal erti tertib. Dia mengenal perihal waktu.

Dia mengenal erti kemasyarakatan dan setiakawan. Dia mengenal erti persaudaraan.
Masjid jadi tempat dia membesar dan membentuk peribadi dan kehidupannya.

Ustaznya, ikutannya, kawannya, suasananya, zikirnya, ilmunya.. Dia bukan sekadar bangunan, dia jadi rumah dan keluarga yang kedua, memahat peribadi budak itu, dengan sentuhan yang kemas dan tersendiri.

Lihatlah betapa besarnya peranan Masjid.
Ia sedikit demi sedikit membentuk naluri yang merasakan masjid seperti kampung yang dirindui, tempat balik, tempat rujukan hatinya. Dia tak boleh berpisah daripada masjid.

2.SOLAT

Yang lebih penting, di masjid dia mengenal erti solat.

Dia kenal tiang agamanya, dan hartanya yang paling mahal di dunia dan akhirat.

Tiada guna hidup di dunia jika tidak ruku’ dan sujud kepada Allah taala.

Dia dipasakkan untuk tidak tunduk kepada selain Allah.

Tidak mengharap kepada mana-mana makhluq.

Bahkan tidak tunduk kepada nafsu sendiri.
Nafsu malas. Nafsu berhelah. Nafsu dengki. Nafsu kemasyhuran. Nafsu keakuan.

Pelbagai nafsu dan penyakit hati, dapat dirawat dengan anak atau remaja melazimi masjid.

Datang ke masjid dia berlatih diri menewaskan rasa malas, dia ajar diri displin. Dia menewaskan alasan.

Kadang-kadang orang nampak macam mudah pergi solat di masjid. Tapi bila ajak masih ramai tak boleh pergi masjid. Maksudnya tak mudah.

Tak mudah sebab apa? Kena bayar ke kalau nak pergi masjid ni? Tak.

Jadi kenapa susah sangat pergi? Sebab nafsu. Nafsu tu malas. Dah lah malas, pandai buat alasan, pujuk hati supaya tak pergi.

Itu namanya nafsu berhelah atau tipudaya nafsu.

Dengan solat di masjid, dia sebenarnya telah menghenyak nafsunya untuk tunduk, dan mengikut perintah penciptaNya.

Dia jadi orang yang merdeka dari semua perkara termasuk nafsunya sendiri, dan memberikan ketaatan dan pergantungan hanyalah kepada Allah taala.

3.AL-QURAN

Lepas itu barulah datang halaqah tahfiz.
Memang di Gaza mereka adakan halaqah tahfiz di masjid-masjid.

Di sini kanak-kanak ini akan didekatkan dengan Al-Quran. Dia diajar baca dan hafal satu-persatu.

Kisah-kisah dalamnya diceritakan. Al-Quran jadi teman hidup.

Ayat-ayat al-Quran terasa seperti bisikan-bisikan baik ke dalam hatinya.
Yang menghidupkan jiwa.
Mengajarkan makna.
Memasakkan cita-cita.
Menanam setia.

Ayat itu dibacakan, diulang-ulang untuk dihafal, sebenarnya dipasakkan dalam hati dan jiwa makna-makna yang tidak dilihat dan difahami oleh ramai orang.

Rakan-rakan halaqah akan jadi rakan tasmi’ di dalam dan luar masjid.

Ayat al-Quran akan menjadi bahan bualan dan nasihat mereka.

Kegembiraan mereka ketika bertemu, bahkan bekalan mereka ketika mereka bersendirian ketika dewasa.

Ya. Sebab anak-anak yang sempat hafal di halaqah-halaqah masjid ini, ketika mereka ditangkap oleh penjahat zionis, di dalam penjara, mereka menjadi guru al-Quran, lalu ramai di kalangan tawanan lain menjadi huffaz di dalam penjara penjajah.

Semua perkara ini mengiringi kehidupan mereka yang mereka lihat pada keimanan dan qudwah ibu dan ayah mereka yang tidak henti mendidik di kala kesusahan jihad dan penjajahan melanda negari mereka.

Masuk umur remaja.. umur yang dikatakan paling “liar”.

Mereka anak-anak dari “sekolah masjid” ini telah pun bersikap.

Mereka telah pun berada di “Jalan Allah”.

Mereka tidak memerlukan masa yang lama untuk matang, mencari diri dan membuat pilihan hidup.

Bukan mereka tidak ada nafsu, namun nafsu dia telah lama dibentuk di Jalan Allah ini.

Lalu apabila datang seruan Allah untuk mempersiapkan diri bagi menyertai mujahidin, mereka hanya berpindah antara peringkat-peringkat jalan Allah.

Dari displin waktu. Kepada displin waktu yang baru.

Dari melawan nafsu. Kepada melawan musuh.

Dari tasyahhud. Kepada Syahid.
Ia hanyalah perpindahan dari ketaatan, kepada ketaatan yang lebih besar.
Jadi sahabat-sahabat..

Yang mahu pergi berjihad dan syahid..
Sudahkah kita berada di Jalan Allah??

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Walau Gencatan Senjata, Israel Tetap Lancar Serangan Udara Ke Gaza

Next Post

Siri 6 | Syahid yang Dirancang : Saleh Al-Arouri (Panglima Besar Pertama yang Gugur dalam Taufan Al-Aqsa)

Related Posts