
“Kematian tetap akan datang, sama ada dengan peluru atau penyakit. Tidak ada bezanya sama ada dengan Apache atau serangan jantung, dan aku lebih rela memilih Apache.” Kata As-Syahid Dr Abdul Aziz Al-Rantisi.
Boeing AH-64 Apache, sebuah senjata perang yang direka khas untuk membunuh sasaran di darat, boleh menembak dari jarak 8 kilometer, dan tembakannya sangat tepat.
Itulah senjata yang diimpikan oleh Dr Al-Rantisi agar menyerang beliau, kerana kecintaannya untuk mati syahid yang membuak-buak. Ia bukan sekadar retorik, tetapi pengisytiharan cita-cita yang telah sekian lama diimpikan. Beliau benar-benar ingin kata-katanya itu menjadi realiti.
Cita-cita ini tidak tumbuh dalam diri beliau dalam masa sehari, bahkan beliau dididik dalam tempoh yang panjang semenjak beliau kecil lagi.
Kesusahan melahirkan hero
Beliau dibesarkan bersama 12 orang adik-beradik dalam keadaan yang perit sebagai pelarian di negara sendiri sedari umur 6 bulan. Keadaan itu banyak mengajar beliau erti mempertahankan agama dan hak manusia sebenar. Kemiskinan dan kesusahan keluarga tidak menghalangnya dalam pelajaran walaupun terpaksa mula berkerja sejak umur 8 tahun sehingga melayakkan beliau menggenggam segulung ijazah kedoktoran dari Kuliah Perubatan Universiti Alexandria, Mesir. Sehingga beliau berjaya menjadi seorang doktor pakar kanak-kanak di Hospital Pusat Perubatan Khan Younis. Setelah itu beliau direkrut oleh Syeikh Ahmad Yassin sebagai pensyarah perubatan pertama Universiti Islam Gaza pada 1978.
Dari masjid kepada pembebasan
Bermula dari Masjid Sidi Gabir, Alexandria dibawah pimpinan Sheikh Al-Mahalawi beliau dididik dengan nilai agama dan semangat jihad.
Kefahaman, keyakinan dan semangat juang itu dibawa pulang ke tanah airnya, Gaza, Palestin.
Pada 1976, beliau menyertai gerakan Islam bersama Syeikh Ahmad Yassin bersama-sama membina pemuda-pemuda bemula dari masjid.
Tahun 1983 merupakan kali pertama beliau ditangkap kerana enggan akur kepada cukai yang dikenakan terhadap klinik yang dikendalikan oleh beliau. Prinsipnya jelas. Ilmu, usaha dan hasil hartanya adalah miliknya dan Israel tidak berhak keatas haknya.
HAMAS, ahlinya dan perjuangan
Pada 1987, beliau bersama 6 orang lagi pimpinan menubuhkan HAMAS dan melancarkan gerakan Intifadah pertama di masjid dan universiti yang menggoncangkan Israel. Sebagai tindakbalas susulan, Israel menangkap beliau dan memenjaraknnya selama 2 tahun setengah. Setelah bebas, beliau masih tidak berputus asa dan masih mangajak rakyat Gaza berjuang sehingga beliau diusir ke Marj Al-Zohour, selatan Lubnan bersama 415 orang aktivis pada tahun 1992.
Di sana beliau meneruskan seruan penetangan terhadap Yahudi laknatullah sehingga berjaya membentuk Gerakan Kepulangan dan beliaulah yang menjadi jurucakap rasminya. Atas tekanan antarabangsa, akhirnya Israel terpaksa membawa mereka pulang pada tahun 1993, namun beliau ditangkap kembali dan diseksa selama 6 hari tanpa makanan dan 24 jam di dalam peti sejuk. Beliau kemudian diletakkkan bersama dengan Syeikh Ahmed Yassin di dalam satu sel penjara. Beliau menggunakan tempoh 4 tahun berharga itu sehingga mampu menamatkan hafazan Al-Quran, mempelajari ilmu fiqh, tafsir dan ilmu-ilmu Islam yang lain bersama Syeikh Ahmad Yassin.
Intifadah tidak akan berakhir
Pada tahun 1997, beliau dan Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan. Intifadah Kedua pula diisytiharkan oleh HAMAS yang diketuai Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi dilantik menjadi orang kedua HAMAS ketika itu yang bertanggungjawab menjalankan operasi-operasi ketenteraan.
Siri-siri operasi ini menyebabkan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon bengang dan memutuskan bahawa Dr Abdul Aziz Al-Rantisi wajib dibunuh.
Gugur satu, tumbuh seribu
Pada 22 Mac 2003, Syeikh Ahmad Yasin syahid ditembak Helikopter Apache ketika pulang solat subuh, lalu Dr Abdul Aziz Ar-Rantisi dilantik sebagai Ketua Umum HAMAS.
Ketika pengebumian Syeikh Ahmad Yassin inilah, beliau mengungkapkan kata-katanya yang masyhur, bahawa beliau turut menginginkan syahid ditembak Helikopter Apache, seperti gurunya Syeikh Ahmad Yassin.
Syurga; destinasi akhir orang bertaqwa
Setelah beberapa siri cubaan bunuh, akhirnya dengan bantuan 2 pengkhianat dari rakyat Palestin sendiri, lokasi beliau diketahui dan beliau ditembak oleh Helikopter Apache pada 17 April 2004. Pada hari yang sama, beliau sempat menghabiskan masa bersama keluarga sepanjang hari, sambil berdoa :
“Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam syurga, itulah yang aku inginkan.”
Momen ini memberi kita imbasan kembali kepada kisah seorang sahabat Nabi SAW yang pernah menyatakan cita-citanya di hadapan Baginda SAW untuk syahid dipanah di bahagian halkumnya. Beliau kemudian didapati syahid dalam keadaan dipanah tepat pada tempat yang diinginkan, lalu Nabi SAW bersabda :
“Dia telah jujur kepada Allah, maka Allah membenarkan kejujurannya”
Cita-cita yang didasari oleh iman yang kuat tidak dilafazkan secara main-main, ianya benar-benar serius dan tidak akan pernah pudar. Inilah ciri-ciri orang beriman yang benar, seperti yang disebut oleh Allah SWT :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu, serta mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Surah Al-Hujurat: 15)
Semoga bulan Ramadhan ini dapat menambah nilai kejujuran kita kepada Allah SWT.