Siri 21 | Operasi Mosad Gagal! : Kisah Operasi Israel yang Menguntungkan Palestin

Khaled Mesh’al bukanlah satu nama yang asing dalam lipatan sejarah perjuangan Palestin. Dilahirkan pada tahun 1956 di Silwad, Ramallah, beliau mewarisi semangat juang daripada ayahnya, Abdul Rahim Mesh’al, yang merupakan pejuang menentang mandat British pada tahun 1936. Sebagai mantan Ketua Biro Politik Hamas sejak 1996, beliau menjadi sasaran utama agensi risikan Israel, Mossad, kerana peranannya yang dominan dalam menggerakkan intifada dan penentangan dari luar Palestin.

Salah satu kisah yang paling mendebarkan berlaku pada tahun 1997 di Amman, Jordan. Peristiwa ini membawa pengajaran besar tentang diplomasi serta ketegasan yang sewajarnya ada pada setiap pemimpin negara Islam.

Pada 19 September 1997, di bawah arahan langsung Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, enam ejen Mossad menyusup ke Jordan. Netanyahu mahu membalas dendam atas siri serangan berdarah termasuk pengeboman di Kafe Apropo, Tel Aviv dan Pasar Mahane Yehuda, Baitul-Maqdis yang telah menggugat kedudukan politiknya. Operasi ini merupakan percubaan Netanyahu untuk memulihkan imejnya yang tercalar.

Ejen-ejen tersebut menggunakan pasport Kanada palsu dengan nama orang berkulit putih supaya tidak dilihat mencurigakan. Mereka membawa senjata kimia maut Fentanyl yang direka khusus oleh pakar biokimia Israel untuk membunuh mangsa dalam tempoh empat jam sahaja melalui sentuhan kulit, tanpa meninggalkan sebarang bukti yang boleh dikesan melalui bedah siasat.

Pada pagi 25 September 1997, di Jalan Wasfi al-Tal, ejen Mossad melancarkan serangan. Taktik mereka melibatkan gangguan bunyi menggunakan tin air soda untuk menutup bunyi peranti semburan racun. Namun, rancangan rapi ini diganggu oleh jeritan anak perempuan Khaled yang menyedari kehadiran lelaki mencurigakan itu. Jeritan tersebut menyebabkan Khaled berpaling, menyebabkan semburan racun tidak mengenai sasaran maut secara tepat.

Seorang pemuda bernama Muhammad Abu Saif menjadi wira yang tidak didendang. Walaupun sedang berpuasa, beliau mengejar dan bergelut dengan ejen-ejen terlatih tersebut sehingga mereka berjaya ditahan oleh polis Jordan.

Apabila identiti ejen Mossad terbongkar, Raja Hussein (ayah kepada Raja Abdullah yang menjadi raja Jordan sekarang) bertindak dengan ketegasan yang luar biasa. Beliau memberikan tiga ancaman maut kepada Israel:

1.Membatalkan perjanjian damai Wadi Araba serta-merta.
2.Menjatuhkan hukuman gantung kepada semua ejen Mossad yang ditahan.
3.Menyerbu dan menutup kedutaan Israel di Amman buat selama-lamanya.

Netanyahu pada mulanya berkeras, namun tekanan daripada Presiden AS ketika itu, Bill Clinton, memaksanya tunduk. Penawar yang dibawa oleh ejen Mosad akhirnya diserahkan untuk menyelamatkan nyawa Khaled.

Raja Hussein tidak melepaskan peluang ini. Beliau meletakkan syarat tambahan: Ejen Mossad hanya akan dibebaskan jika Israel membebaskan Syeikh Ahmad Yasin yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup. Akhirnya, pada 30 September 1997, Syeikh Ahmad Yasin diterbangkan ke Jordan dan kemudian pulang ke Gaza sebagai wira.

Pakar tentera Israel menyifatkan misi ini sebagai kegagalan terbesar dalam sejarah Mossad. Kisah ini meninggalkan satu pengajaran penting bagi pemimpin Arab bahawa berurusan dengan pihak penjajah memerlukan ketegasan dan kekal berprinsip. Ketegasan Raja Hussein membuktikan bahawa apabila maruah negara dicabar, pemimpin yang berani mampu mengubah kekalahan menjadi kemenangan besar bagi umat Islam.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada para pemimpin kita untuk membuat keputusan yang tepat.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Siri 20 | Singa yang Merindui “Apache”: Kisah Seorang Doktor Perubatan Palestin yang Memilih Jalan Syahid

Next Post

Wanita Gaza Galas Tanggungjawab Keluarga Di Tengah Krisis Kemanusiaan

Related Posts