Kempen boikot jika kita perhatikan kepada apa yang berlaku di beberapa negara nampaknya memberikan impak yang besar kepada beberapa syarikat seperti Starbuck, Puma dan sebagainya. Rasanya banyak lagi syarikat lain yang ‘mesra’ Israel akan terkesan. Kita doakan begitu.
Kami di GSPP akan meneruskan kempen boikot ini sehinggalah syarikat berkenaan mengubah pendiriannya atau menutup perniagaannya. Pilihan pertama lebih mudah dan tidak menyebabkan kerugian yang banyak, jadi diharap syarikat berkenaan mengambil pilihan yang pertama ini.
Kesukaran di dalam kempen ini sudah mula dirasai dengan tindakan undang-undang yang mula dikenakan ke atas sesiapa yang berkempen dan ‘stamina’ masyarakat untuk terus boikot yang mula habis. Juga polisi dan perjanjian dagang oleh pelbagai pihak termasuk antaranya pihak kerajaan sendiri yang menyukarkan kempen ini untuk terus memberikan impak. Perkara ini sudah dijangka dari awal dan kita memang ada rancangan untuk mengatasinya.
Kita bergelut dengan masa. Perlu cepat mendidik masyarakat agar sanggup menanggung beban dari kempen boikot kerana ia sememangnya ada beban. Beban meninggalkan kebiasaan yang pertama. Beban menanggung kerugian material yang kedua. Beban menjawab tohmahan sebagai eksterimis yang seterusnya. Juga beban diperlekehkan kerana kononnya ia tiada impak.
Perlu juga cepat menyediakan alternatif kepada masyarakat. Jika tiada alternatif, masyarakat akan kembali menggunakan produk tersebut. Alternatif bukan sahaja pada produk tetapi juga pada servis. Burger ada banyak jenama. Tiada masalah pada alternatif produk. Tetapi kedai makan burger yang selesa boleh dikira dengan jari. Menyediakan alternatif bukan hanya bermaksud menyediakan burger jenama lain tetapi yang lebih mencabar adalah menyediakan kedai makan burger yang selesa juga.
Kita juga perlu cepat memberikan tekanan kepada kerajaan untuk tidak memberi laluan mudah kepada syarikat-syarikat dan produk mesra Israel ini. Kita tidak boleh menghadkan boikot hanya kepada produk yang digunakan oleh masyarakat awam, tetapi juga kepada produk yang dilanggan oleh badan dan agensi besar termasuk kerajaan. Dan yang kedua itu lebih sukar tetapi jika boikot kategori kedua ini berjaya, impaknya lebih besar.
Saya amat berharap agar masyarakat Malaysia mengambil serius kempen boikot ini. Kempen ini amat berkait dengan maruah dan harga diri kita.
Lemah sangatkah kita sehingga tiada kekuatan untuk memulaukan produk mesra Israel sedangkan kita tahu bahawa Israel menjadi kuat dan masih bernyawa dengan setiap sen sumbangan syarikat tersebut kepada mereka?
- dilampirkan gambar pertemuan dengan Pengerusi BDS Malaysia, Prof Dr Nazari pada 11 Jan 2024 dan gambar pertemuan dengan wakil pihak McDonald Malaysia pada 18 Disember 2023.
Wallahu a’lam
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)
12 januari 2024, Ulang Siar
#sebarkankemenangan #akhiripenjajahan #ummahfadhilah #bumimikraj
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : telegram.me/BumiMikraj