
Syeikh Dr. Nizar Rayyan: Ulama Hadis dan Mujahid Palestin
Sahih Bukhari di tangan kanan, senapang di tangan kiri; inilah gambaran seorang ulama yang berjuang di Palestin bernama Syeikh Nizar Rayyan. Beliau merupakan seorang alim, ahli akademik, dan juga komando al-Qassam. Beliau menerima pendidikan akademiknya di Arab Saudi, Jordan, dan Sudan.
Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Imam Muhamad bin Saud al-Islamiyah di Riyadh pada tahun 1982. Kemudian, beliau melanjutkan pengajian dan memperoleh ijazah sarjana daripada Fakulti Syariah, Universiti Jordan di Amman pada tahun 1990 dengan keputusan cemerlang. Selepas itu, beliau meraih ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Hadis daripada Universiti al-Quran al-Karim di Sudan pada tahun 1994.
Beliau berkhidmat sebagai profesor dalam bidang ilmu hadis di Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Gaza. Selain itu, beliau juga menuntut ilmu daripada beberapa tokoh jihad terkemuka, antaranya Abdullah Azzam, Sa‘id Hawwa, Walid al-‘Amudi, dan Syeikh Ahmad Yasin. Beliau dikisahkan oleh rakan dan murid-muridnya sebagai seorang yang sangat mencintai jihad dan para mujahidin.
Kecintaan Kepada Masjid-Masjid di Palestin
Antara gambaran kecintaannya terhadap negerinya Palestin ialah beliau suka menziarahi masjid-masjid di kawasan yang dijajah serta menelusuri sejarahnya. Antaranya Jami‘ al-Qaysariyyah, iaitu masjid yang pernah diziarahi Imam al-Bukhari ketika bermusafir dari Iraq ke Palestin untuk ribat. Di sana, beliau mendengar hadis daripada Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Firyabi. Syeikh Nizar pernah melakukan ribat di masjid itu, namun mendapati ia telah diubah menjadi tempat menjual arak oleh Zionis.
Beliau juga pernah menziarahi Masjid al-Tabari al-Kabir pada tahun 1985. Masjid ini selama 1,200 tahun merupakan antara masjid yang paling agung sepanjang sejarah, di mana Imam al-Tabari pernah mengajar dan berfatwa di situ. Syeikh Nizar banyak membaca tentangnya dan sangat ingin menziarahinya sendiri. Beliau pergi pada waktu solat Asar, namun setibanya di sana, beliau terkejut kerana Zionis telah menukarkannya menjadi tempat maksiat.
Perasaan marah yang membuak menyebabkan wajahnya menjadi merah padam. Beliau kemudian nekad menaiki menara azan masjid itu yang sudah sangat usang and berhabuk kerana lama tidak digunakan. Setelah sampai ke puncak, beliau melaungkan azan Asar dengan suara yang sangat lantang: Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Tindakan itu membangkitkan kemarahan Zionis, lalu mereka menyuruh seorang lelaki Badwi naik ke atas untuk meminta Syeikh Nizar turun. Badwi itu bertanya, “Apa yang kamu lakukan, wahai Syeikh?” Syeikh menjawab dengan tegas, “Aku azan di masjid datuk moyangku!” Badwi itu membalas, “Baik, tetapi Yahudi menyuruh kamu turun. Cuma aku mahu beritahu satu perkara: masjid ini sejak 1948, sejak Nakbah sehingga hari ini, tidak pernah ada orang azan di sini. Azan telah terhenti sehinggalah hari ini engkau datang dan melaungkannya semula.” Puluhan tahun kesunyian azan di situ akhirnya dipecahkan oleh keberanian Syeikh Nizar.
Syeikh Nizar juga mempunyai sebuah masjid yang dijaganya sendiri, iaitu Masjid al-Khulafa’. Dari masjid itu, lebih 200 orang dalam kalangan jemaahnya telah menjadi pejuang dan syahid. Ia diiktiraf sebagai antara masjid yang paling banyak melahirkan para syuhada.
Kecintaan Kepada Ribat, Jihad, dan Tarbiah Keluarga
Pada awal Intifadah, isteri-isteri beliau melihat betapa besarnya kecintaan beliau terhadap perjuangan. Mereka segera menyerahkan semua harta perhiasan emas untuk membeli senjata bagi para mujahidin. Malah, ada yang membeli senjata untuk diri sendiri dan menyediakan tali pinggang keselamatan untuk bersiap sedia jika berlaku sebarang operasi.
Beliau mentarbiah isteri-isteri dan anak-anaknya agar mencintai jihad dan syahid. Salah seorang anaknya, Ibrahim, telah beliau hadiahkan sendiri kepada al-Qassam untuk operasi jihad. Syeikh Nizar mengikuti rapat perkembangan operasi tersebut yang akhirnya menyaksikan Ibrahim berjaya membunuh enam orang tentera Israel sebelum syahid. Apabila berita syahadah itu sampai, beliau enggan menerima ucapan takziah. Beliau berkata: “Kalau kamu datang untuk mengucapkan tahniah, silakan; tetapi kalau untuk takziah, saya tidak menerimanya. Saya berada dalam majlis kenduri syahadah.”
Setiap minggu beliau akan keluar untuk melakukan ribat, malah seminggu sebelum syahid pun beliau masih berada di perbatasan. Pernah pada suatu malam perkahwinan salah seorang anaknya, berlaku pertempuran hebat. Syeikh pergi ke rumah anaknya untuk mengajaknya keluar berjuang. Isteri anaknya memberitahu bahawa anak beliau telah pun keluar memakai baju tentera setengah jam lebih awal. Inilah bukti kejayaan tarbiah beliau terhadap keluarganya.
Syeikh juga gemar membaca hadis di tempat ribat. Beliau pernah membaca Kitab al-Jihad daripada Sahih al-Bukhari ketika sedang berjaga bersama Dr. Abdul Aziz al-Rantisi, dan beliau menyifatkan hari itu sebagai hari ribat yang paling disukainya. Dalam salah satu risalahnya, beliau pernah berdoa: “Ya Allah, kurniakanlah kepadanya syahadah, juga kepada isterinya dan anak-anaknya.”
Doa tersebut akhirnya dimakbulkan Allah SWT pada akhir tahun 2008. Syeikh Nizar Rayyan telah menemui syahid bersama empat orang isteri dan 11 orang anak-anaknya dalam satu serangan bom oleh Zionis terhadap rumah mereka.
Semoga Allah merahmati roh asy-syahid Syeikh Nizar Rayyan dan memberikan kita kekuatan dan kemampuan untuk mengikuti jalannya yang menggabungkan antara ilmu dan perjuangan.