
Biasanya kalau sebut tentang James Bond, kita akan membayangkan seorang lelaki berkulit putih, memakai kot hitam dan membawa satu beg bimbit. Auranya tegas dan berani, mindanya penuh dengan strategi dan cekap bermain senjata.
Pendek kata, sekali pandang, kita tahu watak James Bond penuh dengan karisma dan sentiasa bersedia.
Sekali petik,,,, akan menggegar dunia!
Cuma, James Bond yang kita bayang itu hanyalah watak fiksi dan lakonan semata.
Tahukah sebenarnya dunia pernah menyaksikan watak James Bond yang real?
Beliau bukanlah warga British dan hidup di London, tetapi hidup di bumi Gaza dan merupakan warga Palestin!
Siapakah James Bond Palestin? Inilah dia Salah Shahadeh. Jom kita bedah kehidupan beliau!
Namanya Salahuddin Shahadah. Keluarganya berasal dari Jaffa, tetapi berpindah ke Hayy al-Raml di Gaza selepas peristiwa Nakbah 1948. Dan…. Disinilah beliau lahir.
Beliau mendapat pendidikan awal di kawasan yang sama sebelum berpindah ke Kem Al-Shati’ ketika peristiwa Naksah 1967. Disebabkan penghijrahan keluarganya ke kem ini, maka bermulalah episod pembentukan seorang pemuda yang kuat jati dirinya demi membebaskan Palestin!
Di kem inilah, beliau mengenali Sheikh Ahmad Yasin dan mendapat tarbiyah daripadanya. Bukan itu sahaja, aliran kehidupannya juga seakan-akan sama dengan Sheikh Ahmad Yasin apabila beliau berjaya masuk ke Madrasah Palestin, iaitu sekolah menengah yang sama dengan Sheikh Ahmad Yasin dengan tahun graduasi yang berbeza. Dengan keterhadan ekonomi dan tidak dapat mana-mana biasiswa UNRWA untuk sambung belajar medic atau engineering….
Maka, Salah memilih untuk sambung belajar di salah satu institusi tinggi di Iskandariah, Mesir pada tahun 1973. Ketika ini, gerakan Islam di Mesir sedang memuncak melawan kudeta Mesir setelah kematian Jamal Abdul Naser dan diganti oleh Anwar Sadat yang cuba mengimbang semula politik Mesir ketika itu. Melihat kelantangan gerakan Islam di sana, Salah mula bergiat aktif menyertai gerakan Islam dan membentuk mindanya dengan komitmen yang baharu. Pada tahun 1976, beliau mendirikan rumah tangga dengan Laila Khamis dan mendapat enam orang cahaya mata perempuan.
Setelah pulang ke Gaza, beliau menjadi pengkaji statistik antara Sinai-Gaza dan membina hubungan rapat dengan Sheikh Ahmad Yasin. Pada 1978, Universiti Islam Gaza ditubuhkan dan beliau menjawat jawatan pegawai hal ehwal pelajar di sana pada 1982. Ketika beliau mencecah 30 tahun, beliau sudah menjadi ikon dan rujukan anak muda dan digelar sebagai Sheikh Salah. Salah bertanggungjawab mendidik para pelajar dalam membina fizikal yang kuat dengan menjalankan pelbagai latihan di kawasan kem dan di universiti.
Tujuan utama beliau bukanlah sekadar mengisi masa lapang dan membina fizikal pelajar sahaja, tetapi fokus yang sebenar adalah untuk menyediakan pemuda Palestin menjadi pejuang membebaskan Palestin pada masa hadapan! Orang kata, serampang dua mata..
James Bond Palestin ini bukan biasa-biasa. Beliau sendiri mempunyai badan yang sangat ‘fit’ dan mendapat tali pinggang perang dalam satu jenis seni mempertahankan diri yang berasal dari Jepun! Memang sesuai tugasnya dalam membentuk fizikal pemuda Palestin yang mantap.
Usahanya mula membuahkan hasil apabila terjadinya konflik perebutan dalam percubaan memisahkan golongan Islami untuk mentadbir Universiti Islam Gaza. Disebabkan konflik ini, ada tangan- tangan yang mencuba untuk meletupkan universiti itu dengan Molotov dan Gasolin. Dia lupa bahawa James Bond Palestin sudah dapat menghidu agenda mereka.
Salah menghantar beberapa pemuda terlatih untuk menyerbu pakatan tersebut dan menatijahkan pakatan itu semuanya tercedera dan masuk hospital! Hebat, bukan?
1984 – Penangkapan Pertama Salah
Beliau ditangkap atas tuduhan merancang penentangan kepada Zionis. Beliau dipenjara dua tahun kemudian dibebaskan pada 1987. Tahun yang sama, Gerakan HAMAS ditubuhkan dan berlakunya intifadah yang pertama. Sepanjang beliau dipenjara, beliau tidak duduk diam, otaknya ligat merancang strategi. Keluar sahaja penjara, misi beliau diteruskan!
Tak senang duduk tentera Israel masa tu, betul-betul padu strategi geliga Salah ni! Kehebatan Salah tak terhenti di situ. 1992, Briged Al-Qassam pula ditubuhkan dan Salah menjadi komander pertama briged tersebut. Bermulalah mimpi ngeri Israel, disangka menjajah tanah kijang yang tidur, rupanya menjajah tanah singa yang sedia membaham!
Avi Sasportas dan Ilan Saadon dilaporkan hilang dan diculik. Dua tentera Israel ini jatuh tumpas di tangan Briged. Tetapi, yang menjalankan misi ini pulang dengan tenang dan dalam keadaan baik. Siapakah ‘master mind’ misi ini? Tentulah Sheikh Salah Shahadeh.
Sheikh Salah Shahadeh ditangkap semula, kali ini dengan tempoh pemenjaraan yang lebih lama iaitu 12 tahun (1988-2000). Beliau ditangkap bersama Sheikh Ahmad Yasin dan Yahya Sinwar, namun dibebaskan pada tahun yang berbeza. Beliau disiasat oleh Jeneral Israel yang bernama Isaac Mordechai tentang keberadaan dua tentara Israel yang hilang, tetapi Salah mengatakan beliau tidak tahu. Perbualan antara mereka agak panjang. Isaac mengherdik pejuang Palestin dan menuduh mereka pengecut kerana tidak mahu memberitahu lokasi sebenar Avi dan Ilan. Namun, Salah memulangkan paku buah keras dan menyebabkan Isaac marah.
Katanya, tentera Israel yang pengecut, menangis seperti bayi dan berselindung di belakang kanak-kanak, wanita dan warga tua!
Lantaran ketegasan Salah, beliau diseksa dengan teruk. Antaranya, badannya direnjat elektrik dan digantung terbalik. Kemudian, beliau diasingkan ke sel persendirian. Selain itu, tentera Israel sengaja mencabut bulu janggut beliau setiap hari, tanpa gagal untuk menyakitinya sehinggakan Salah menganggap bulu janggutnya tidak tumbuh lagi.
12 tahun lamanya, akhirnya Salah dibebaskan melalui jaminan Pihak Berkuasa Palestin. Beliau perlu menandatangani perjanjian untuk tidak kembali terlibat dengan operasi mujahidin. Salah turunkan tandatangan tetapi beliau berkata,
“Jihad ini ialah kerja kerana Allah. Maka, jihad tidak memerlukan keizinan manusia untuk diteruskan!
Seruan jihad melalui pimpinan Salah semakin memuncak. Beliau meletakkan jawatan di universiti dan menumpukan seluruh daya usahanya untuk Briged. Beliau bersama Adnan al-Ghoul merancang pembangunan senjata. Hakikatnya, ini bukan kerja baharu Salah, tetapi agenda penerusan yang sudah dirancang di sebalik besi. Beliau memantau pembangunan senjata melalui penjara dan dibantu Adnan yang berada di luar penjara.
Kehebatan perancangan beliau melahirkan intifadah kedua pada 28 September 2002. Intifadah kali ini lebih padu dengan kewujudan senjata berat dan bahan letupan dari pihak mujahidin. Bahkan, mereka berjaya melancarkan roket pertama Briged dengan pantauan Salah Shahadeh dan persetujuan Sheikh Ahmad Yasin.
Bukan itu sahaja, Briged juga melancarkan operasi bom berani mati di beberapa kawasan petempatan haram Israel dan keadaan Israel menjadi kucar kacir. Mereka tak sempat duduk diam, baru dengar satu serangan di sana, di sini juga turut diserang secara bertubi-tubi!
Dalam masa setahun Salah mengetuai briged, seramai 474 orang tentera Zionis mati dan 2749 orang tercedera. Melihat keadaan itu, Israel meletakkan Salah Shahadeh sebagai ‘most wanted’ dan fail tentangnya adalah yang teratas! Fail itu dinamakan sebagai ‘Pembawa Panji’ sebagai simbolik kepada Salah Shahadeh yang merupakan nafas perjuangan rakyat Palestin ketika itu.
Sudah menjadi adat, adanya Si Kitol dalam perjuangan. Khianat dalaman menjadi faktor kesyahidan Salah Shahadeh bersama isteri dan anaknya, Iman. Turut menjadi syahid, pembantunya yang bernama Zaher dan beberapa jiran terdekatnya. Jet pesawat F- 16 berlegar di udara ketika Subuh, 22 Julai 2002 di Hayy al-Darj, tepat di atas kediaman Salah dan menunggu arahan Ariel Sharon untuk menyerang.
Click! Lampu hijau untuk serangan!
Maka jatuhlah satu tan bom tepat ke atas kediaman keluarga Salah dan menyebabkan mereka gugur syahid. Hari itulah merupakan hari pengebumian terbesar kerana ramainya yang syahid termasuklah 9 kanak- kanak dan 4 orang wanita yang berjiran dengan mereka.
Sheikh Ahmad Yasin menyifatkan Salah Shahadeh adalah pejuang yang mendapat kedua-dua kemuliaan, iaitu kemenangan dan kesyahidan. Kemenangan kerana beliau berjaya menjalankan seluruh strategi yang dirancang dan kesyahidan kerana beliau pergi setelah berjuang demi agama dan tanah air.