
Hari Raya Aidilfitri semakin menghampiri.
Biasanya hari raya menyapa kita dengan bunyi yang lembut dan suasana yang bahagia.
Takbir bergema dari masjid, rumah-rumah dibersihkan, pakaian baru disiapkan, anak-anak menunggu pagi dengan mata yang bercahaya.
Agak-agak macam mana pula Hari Raya di Gaza?
2 tahun ini, Hari Raya tidak datang dalam suasana yang biasa.
Ia datang ketika tanah masih panas berasap, ketika sebahagian rumah telah runtuhan batu, ketika langit belum berhenti mengirim peluru, dan ketika ramai yang menyambut pagi tanpa ayah, tanpa ibu.. tanpa anak, tanpa saudara, yang semalam masih ada.
Namun raya tetap datang.
Di tengah kota yang luka, manusia masih mampu bertakbir.
Di celah runtuhan, di sisi jenazah, di hadapan kemusnahan yang belum habis dihitung, lidah-lidah mereka tetap menyebut: “Allahu Akbar, Allahu Akbar!”.
Seolah-olah seluruh Gaza sedang berkata bahawa bom boleh meruntuhkan bangunan, tetapi tidak mampu meruntuhkan makna dan jiwa.
Pejuang-pejuang di Gaza menyambut raya bukan seperti manusia biasa menyambutnya.
Perkara ini dicatatkan oleh asy-Syahid Muhammad Zaki di dalam memoirnya.
Pertama sekali, sebelum cakap tentang raya, ialah Ramadhan itu sendiri.
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia adalah Madrasah Jihad.
Puasa melatih melatih untuk berlapar, haus, dan letih yang bersangatan, ia sama seperti yang dilalui oleh para Mujahid di medan tempurnya.
Ia juga melatih displin yang tinggi, hanya seteguk air atau sesuap nasi selepas azan subuh boleh membatalkan puasa, inilah latihan displin tinggi para Mujahidin!
Ia mendidik mereka bahawa orang yang tidak mampu menguasai dirinya, tidak akan mampu memikul beban perjuangan yang panjang.
Sebab itu raya mereka pun berbeza.
Raya itu bukan sekadar hari makan setelah lapar, tetapi hari menyaksikan bahawa jiwa yang terdidik dengan Ramadan kini diuji di hadapan darah dan api.
Mereka menyambut Aidilfitri dengan tubuh yang keletihan, dengan pakaian yang bukan pakaian baru, dengan mata yang mungkin belum sempat tidur, tetapi dengan hati yang lebih hidup daripada ramai manusia yang duduk dalam keamanan.
Betapa ramai antara mereka yang pagi raya itu kehilangan sesuatu yang tidak akan kembali.
Ada yang kehilangan rumah.
Ada yang kehilangan sahabat seperjuangan.
Ada yang kehilangan anak kecil yang sempat dipakaikan baju raya tahun lalu.
Tetapi di tengah kehilangan itu, mereka tidak bercakap seperti orang yang kalah.
Mereka bercakap dengan mengetahui bahawa Allah sedang menulis sesuatu yang besar di balik segala kepedihan ini.
Mereka seakan berkata: Ya Allah, kami reda dengan apa yang Engkau tuliskan buat kami.
Bukan kerana luka itu ringan, tetapi kerana iman menjadikan luka itu ada makna.
Di sinilah raya di Gaza menjadi tazkirah untuk seluruh umat. Sebahagian kita membayangkan raya sebagai suasana meriah dan pesta.
Tetapi asy-Syahid Muhammad Zaki menulis, sedarkah kita tentang Hari Raya pertama yang sambut oleh Rasulullah sallaLlahu alaihiwasallam bersama Umat Islam?
Bukankah Hari Raya pertama yang agung bagi umat Islam ini ialah hari selepas mereka melalui perang Badar?
Hari ketika umat Islam merasakan bahawa kemenangan tidak lahir daripada bilangan dan kekuatan zahir semata-mata, tetapi daripada iman, pengorbanan, dan pertolongan Allah.
Maka apabila pejuang Gaza bertakbir di pagi raya, takbir mereka bukan sekadar sunnah bermusim.
Ia membawa makna takbir yang benar.
Ia membawa gema Badar: bahawa umat ini pernah bangkit dalam keadaan lemah, dan dengan izin Allah, ia boleh bangkit lagi.
ISLAM BUKAN AGAMA BEKU DAN RAHIB
Gaza juga mengingatkan kita bahawa Islam bukan agama kebekuan.
Islam bukan “rahbaniyyah” yang melarikan diri daripada kehidupan.
Islam ialah agama yang membina manusia supaya sujud kepada Allah, lalu bangun memikul amanah.
Islam mengajar zikir, juga mengajar sabar dalam perjuangan.
Islam mengajar tangisan di hadapan Allah, dan juga keteguhan di hadapan musuh.
Islam mengajar cinta syurga, tetapi bukan dengan jalan tunduk kepada nafsu.
Pejuang Gaza berhari raya dalam keadaan menghidupkan makna ini: mereka menangis, tetapi tidak lemah. Mereka luka, tetapi tidak tunduk. Mereka kehilangan banyak perkara, tetapi tidak kehilangan arah.
Bahkan mungkin inilah makna izzah yang sebenar.
Di sinilah kita di Malaysia patut berhenti sejenak, dan bertanya kepada diri sendiri: apakah yang telah Ramadan dan raya lakukan kepada jiwa kita?
Kita berpuasa dalam keadaan aman.
Kita berbuka dengan makanan yang cukup.
Kita bersahur tanpa bunyi jet pejuang.
Kita pergi ke masjid tanpa takut akan dibedil.
Anak-anak kita memakai baju raya, ketawa, berlari, meminta duit raya, pulang ke rumah yang masih berdiri utuh.
Kita bertakbir dalam keamanan yang tidak perlu dibayar dengan darah kita sendiri. Semua ini adalah nikmat yang sangat besar, tetapi justeru kerana itulah ia juga menjadi soalan yang besar.
Sudahkah kita bersyukur kepada Allah dan menyelesaikan tanggungjawab kita kepada ummah?
Jika dalam keamanan pun hati kita masih keras, maka ada sesuatu yang belum selesai.
Ayuhlah takbir, dengan penuh keinsafan, jangan lupakan perjuangan kita.
Di bumi kita sendiri, dan bersama saudara kita, di bumi sana..!