
Mungkin semua telah tahu akan kisah Madleen Flotilla yang belayar dari Sicily menuju ke Gaza dalam misi berani mati untuk memecahkan sekatan kejam. Namun, pernahkah kita tertanya-tanya mengapa kapal itu dinamakan dengan Madleen?
Kapal itu dinamakan sempena seorang wanita hebat dari Gaza bernama Madleen Kullab, yang terkenal sebagai wanita pertama dan termuda yang menjadi nelayan di wilayah tersebut.
Madleen memulakan perjalanannya dalam dunia nelayan pada usia muda bagi menyara keluarganya dalam suasana mencabar dari segi ekonomi, sosial, dan sekatan oleh rejim Zionis.
Dia mula turun ke laut ketika masih berumur enam tahun bagi menemani bapanya yang juga seorang nelayan. Daripada bapanya, dia belajar asas-asas kerja nelayan seperti berenang, melontar jaring, dan mengendalikan bot.
Pada usia tiga belas tahun, bapanya jatuh sakit (lumpuh menurut beberapa sumber) dan tidak lagi mampu bekerja. Maka Madleen, sebagai anak sulung, memikul tanggungjawab mengendalikan bot dan menyara keluarganya.
Wilayah Gaza telah dikenakan sekatan ketat oleh Zionis sejak tahun 2007, yang menghadkan kawasan menangkap ikan kepada hanya 3 hingga 6 batu nautika, menyebabkan hasil tangkapan ikan berkurang dan menjejaskan punca pendapatan penduduk. Madleen tetap turun ke laut walaupun sekatan ini sering mengancam nyawanya.
Sebagai wanita pertama yang menjadi seorang nelayan di Gz, Madleen turut menghadapi cabaran sosial dalam masyarakat yang melihat pekerjaannya sebagai sesuatu yang luar biasa.
Pada tahun 2016, tentera penjajah Zionis telah merampas bot bapanya bersama segala peralatan, menambahkan lagi kesengsaraannya. Namun, Madleen tidak berputus asa. Dia menyewa enjin ganti untuk menggerakkan sebuah bot pelancongan dan terus turun ke laut menangkap ikan.
Dia menanggung perbelanjaan keluarganya, termasuk kos rawatan bapanya yang uzur. Madleen mampu menangkap sekitar 3 kilogram ikan setiap hari, yang dijual sekitar 30 shekel (lebih kurang 8 dolar ketika itu).
Meskipun memikul tanggungjawab yang berat, Madelin tetap meneruskan pelajarannya di samping bekerja sebagai nelayan, menggambarkan semangat gigih dan keazaman untuk berjaya dalam keadaan serba mencabar.
Madleen bukan sahaja bangkit melawan cabaran demi dirinya, malah dia turut berkongsi ilmu dengan gadis-gadis lain. Dia menganjurkan bengkel mengajar gadis-gadis menangkap ikan dan membuat jaring, serta menubuhkan kelab nelayan wanita untuk menyokong pekerja wanita di laut dan isteri-isteri nelayan, dengan tujuan menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang ini.
Kini, Madleen Kullab menjadi simbol ketabahan rakyat Palestin, khususnya wanita dan para nelayan di Gaza, yang menentang sekatan laut, adat tradisi, dan tekanan ekonomi.
Pada Jun 2025, gabungan Freedom Flotilla telah menamakan salah sebuah kapal mereka sebagai Madleen sebagai penghormatan kepada dirinya selaku nelayan wanita pertama Plstn, simbol solidariti bersama para nelayan dan wanita Gz, serta lambang semangat juang dan keteguhan.
Selepas tercetusnya genosid ke atas Gaza pada Oktober 2023, Madleen kehilangan bapanya dan punca rezekinya, menambahkan lagi beban hidupnya. Namun, kisah hidupnya kekal menjadi sumber inspirasi.
Kisah Madleen Kullab menggambarkan semangat perjuangan rakyat biasa dan keazaman Islam. Dia menukar hobi zaman kecil menjadi kerjaya demi menyara keluarganya, dan mengilhamkan orang lain untuk menghadapi dugaan hidup dengan tabah.
Hari ini, namanya berlayar di atas kapal Madleen untuk menarik perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat kita dan usaha untuk memecahkan sekatan yang zalim.
Ajarkanlah anak-anak kita kisah perjuangan Madleen agar mereka menghadapi kehidupan dengan jiwa yang berbeza berbanding apa yang kita lihat hari ini daripada kebanyakan anak muda yang tidak bertanggungjawab, tidak memikul beban hidup sendiri, apatah lagi beban umat.
Sumber: Anas Bad Latif, Penyelidik Dunia Palestin
#artikelpalestin
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj