ATM Sedia Laksana Operasi Pemindahan Rakyat Malaysia Dari Iran

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia melaksanakan operasi memindahkan semua rakyat Malaysia di Tehran, Iran susulan ketegangan yang semakin memuncak di sana.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata buat masa ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan bagi tujuan itu daripada kerajaan, khususnya Kementerian Luar.

“Kita belum ada terima apa-apa arahan. Biasanya ia dikelola oleh Kementerian Luar. Bagaimana cara dan segalanya, saya percaya mereka (Wisma Putra sudah) memikirkan sebab tak semua kapal terbang boleh masuk (Tehran).

“Kita bersedia menerima apa-apa arahan daripada kerajaan, jika ada apa-apa keputusan (terbaru) dibuat. Keputusan ini dibuat dan biasanya diuruskan oleh Kementerian Luar.

“Kalau ada pun, mengenai itu, dia (Wisma Putra) akan usahakan dan tak semestinya melalui tentera. Kerana dalam konteks sekarang, kapal terbang tentera adalah lebih baik tak masuk (Iran) sebab nanti mereka (Israel dan Amerika Syarikat (AS)) ingat tentera (Malaysia) datang nak bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-59 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Pengerusi Koperasi Tentera Leftenan Jeneral Datuk Zaidan Atan.

Terdahulu pada majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 7.1 peratus bagi tahun kewangan 2024 dengan jumlah agihan RM125.3 juta kepada 155,678 anggotanya.

Menyentuh kedudukan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat ketika ini, Mohamed Khaled berkata, ATM sentiasa berhubung dengan mereka.

“Dia (kedudukan anggota MALBATT Malaysia) jauh, tapi apa pun kita sentiasa ada hubungan berterusan dan kalau ada apa-apa, kita akan maklumkan dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pagi tadi, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 15 rakyat Malaysia dan seorang warga Singapura sudah bersedia setakat hari ini untuk dipindahkan dari Iran menerusi operasi membawa pulang mereka dari negara itu.

Beliau berkata, semua mereka itu terdiri daripada 12 rakyat Malaysia serta seorang pemastautin tetap (PR) Malaysia, dua pasangan warga Iran dan seorang warga Singapura.

Usaha bawa pulang ini dilakukan susulan gesaan Wisma Putra kelmarin, meminta semua rakyat Malaysia yang menetap di Iran meninggalkan negara berkenaan serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.

Wisma Putra berkata, situasi semasa di Tehran, ibu negara Iran itu adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.

Ketegangan terus memuncak di Tehran dan Tel Aviv di Israel selepas kedua-dua pihak saling berbalas serangan yang kini sudah memasuki hari ke tujuh, dengan angka kematian dilaporkan di kedua-dua negara sudah melebihi 500 orang.

Sumber: Buletin Tv3

#beritahariini

Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Konflik Iran–Israel: Iran Ingatkan AS Agar Tidak Terlibat Secara Langsung

Next Post

Angka Korban Di Gaza Cecah 55,706, Manakala Lebih 130,000 Cedera

Related Posts