
GAZA CITY: Israel membenarkan sejumlah bekalan makanan dihantar ke Semenanjung Gaza, susulan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat supaya menamatkan sekatan sepenuhnya yang dikenakan lebih dua bulan lalu, menurut Pejabat Perdana Menteri semalam.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas tentera Israel memaklumkan sudah memulakan “operasi darat secara besar-besaran’ dalam kempen perluasan wilayah yang diperhebatkan di Gaza.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, kputusan itu juga dibuat ketika Israel dan Hamas turut terbabit dalam rundingan secara tidak langsung bagi mencapai perjanjian untuk menghentikan pertempuran.
Kenyataan itu juga memaklumkan atas syor pihak tentera, Israel akan membenarkan kemasukan makanan dalam jumlah asas bagi memastikan krisis kebuluran tidak berlaku di Semenanjung Gaza.
“Krisis sedemikian boleh menjejaskan operasi ketenteraan yang sedang dijalankan (di Gaza), dan Israel akan bertindak bagi mengelak pejuang Hamas daripada merampas bantuan kemanusiaan terbabit,” kata kenyataan itu.
Israel menyatakan sekatan makanan yang bermula sejak 2 Mac lalu bertujuan memberi tekanan kepada kumpulan pejuang Palestin itu, namun agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai kekurangan kritikal bekalan makanan, air bersih, bahan api dan ubat-ubatan.
Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump – sekutu utama Israel – mengakui ramai yang sedang mengalami kebuluran dengan menambah bahawa pihaknya akan memastikan perkara itu diselesaikan.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot turut menggesa Israel supaya membenarkan penyambungan semula bantuan segera, besar-besaran dan tanpa halangan.
Semalam, tentera Israel mengumumkan bahawa pasukannya sudah memulakan operasi darat secara meluas di seluruh utara dan selatan Semenanjung Gaza dan kini berkedudukan di lokasi strategik.
Kempen yang diperhebat oleh tentera Israel bertujuan membebaskan tebusan dan menumpaskan Hamas, bermula pada Sabtu lalu, serentak dengan rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak di Qatar.
Pejabat Netanyahu memaklumkan bahawa perunding di Doha sedang berusaha sepenuhnya bagi mencapai perjanjian – sama ada mengikut kerangka Utusan AS bagi Asia Barat, Steve Witkoff atau sebagai sebahagian daripada penamatan pertempuran.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa perjanjian berkenaan merangkumi pembebasan semua tebusan, pengusiran anggota Hamas, dan perlucutan senjata di Semenanjung Gaza.
Sejak gencatan senjata dua bulan yang berakhir pada Mac lalu apabila Israel menyambung semula serangan, rundingan yang dimediasi oleh Qatar, Mesir dan AS masih belum mencapai sebarang kejayaan.
Netanyahu kekal menolak penamatan peperangan tanpa kejatuhan sepenuhnya Hamas, manakala Hamas pula enggan menyerahkan senjatanya. – AFP
Sumber: Berita Harian
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj