
Kuala Lumpur: Gencatan senjata bagi menamatkan perang antara Hamas dan Israel berkuat kuasa Ahad ini, bukan hanya kemenangan untuk penduduk Palestin malah seluruh dunia termasuk Malaysia.
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)
Muhammad Fauzi Asmuni berkata, seluruh dunia terutama Malaysia menantikan khabar gembira itu selepas lebih 15 bulan konflik Asia Barat itu meletus sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
“Genjatan senjata yang bakal ditandatangani adalah sesuatu yang amat diharapkan semua pihak termasuk warga Palestin dan luar Palestin, orang Islam dan bukan Islam bahkan orang Yahudi yang duduk di Israel sendiri.
“Ia adalah satu tanda kekalahan Israel dalam mencapai objektif peperangan kali ini menandakan Hamas tidak berjaya dilumpuhkan bahkan Gaza juga tidak berjaya dikosongkan walaupun serangan paling gila abad ini berlaku tanpa henti selama 15 bulan.
“Pencapaian ini adalah kemenangan seluruh umat Islam dan lainnya yang sentiasa memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk kepada Palestin. Semua berhak untuk bergembira dengan perkembangan terbaharu ini,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau mengulas mengenai gencatan senjata yang dimeterai antara Hamas dan Israel bermula Ahad ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, kemenangan itu sememangnya sudah diramal dalam al-Quran.
“Bagi umat Islam apa yang berlaku sehingga hari ini adalah bukti kebenaran apa yang diramalkan Rasulullah SAW.
“Kemenangan di Syria yang datang beberapa ketika sebelum genjatan senjata ini juga adalah tanda kronologi peristiwa yang boleh dijangkakan unjurannya.
“Bagi Israel dan sekutunya, mereka sepatutnya menginsafi diri kerana kezaliman tidak akan bertahan bahkan hukumannya ada kalanya dikenakan di dunia lagi.
“Mereka perlu yakin bahawa di sana ada hukum ‘karma’. Ambillah iktibar dari kemusnahan (kebakaran di Los Angeles) yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan hentikanlah kezaliman dilakukan sebelum banyak lagi pembalasan akan datang,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengingatkan umat Islam terutama di Palestin supaya tidak leka sebaliknya terus bersatu dan membina kekuatan dalam mempertahankan ancaman Israel yang kemungkinan berlaku dalam bentuk lain pada masa akan datang.
“Mengenali Israel dan perangainya, gencatan senjata ini masih belum diketahui akan bertahan berapa lama kerana pengkhianatan dan mungkir janji seolah-olah sudah menjadi darah daging Israel.
“Cita-cita perluasan dan kepentingan ekonomi Israel di Gaza tidak pernah padam dari matlamat mereka,” katanya.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, Perdana Menteri Qatar Mohammed Abdulrahman mengumumkan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui Hamas dan Israel membabitkan tiga fasa mulai Ahad ini.
Fasa pertama yang berlangsung 42 hari bakal menyaksikan Hamas membebaskan 33 tahanan Israel dan sebagai pertukaran, Israel pula membebaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin termasuk 250 orang yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Qatar, Mesir dan AS yang sebelum ini menjadi perantara usaha damai antara kedua-dua pihak itu akan terus memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata termasuk kemungkinan sebarang pelanggaran.- Tv Pertiwi
#beritahariini #bumimikraj
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : klik t.me/bumimikraj