
Rom: Itali pada Jumaat berkata, ia akan memulakan penghantaran udara ke atas Gaza – yang menurut pakar yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – akan mengalami kebuluran.
Ia menjadi negara Eropah terbaharu berbuat demikian.
“Saya sudah memberi lampu hijau kepada misi yang membabitkan aset Tentera Darat dan Tentera Udara untuk pengangkutan dan ‘airdrop’ keperluan asas kepada orang awam di Gaza, yang terjejas teruk akibat konflik yang berterusan,” kata Menteri Luar Antonio Tajani dalam satu kenyataan.
Tentera Udara Itali akan bekerjasama dengan Tentera Jordan untuk menurunkan kontena khas yang mengandungi barangan keperluan, katanya.
Penurunan pertama mungkin dilaksanakan pada 9 Ogos, katanya.
Sepanyol pada Jumaat berkata, ia menghantar 12 tan makanan ke Gaza, menyertai Britain dan Perancis, yang bekerjasama dengan negara-negara Timur Tengah untuk menghantar bekalan kemanusiaan yang amat diperlukan melalui udara ke wilayah Palestin itu.
Sumber: Harian Metro