
ANKARA/ISTANBUL: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) mengecam keras tindakan terus bergantung pada penghantaran bantuan melalui udara ke Gaza.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini, menyifatkan langkah itu sebagai ‘tidak berkesan, tidak mencukupi, dan sekurang-kurang 100 kali lebih mahal berbanding penghantaran menggunakan lori’, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Sambil menegaskan lori membawa bantuan dua kali ganda lebih banyak daripada pesawat, beliau turut mempersoalkan logik di sebalik keutamaan kepada penghantaran melalui udara sedangkan laluan darat masih ditutup.
“Jika ada kemahuan politik untuk membenarkan penghantaran udara yang sangat mahal, tidak mencukupi dan tidak berkesan, maka sepatutnya ada juga kemahuan politik yang sama untuk membuka laluan darat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Lazzarini menekankan bahawa ‘satu-satunya cara untuk menangani kebuluran ialah membanjiri Gaza dengan bantuan.’
“UNRWA – agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbesar di lapangan – mempunyai 6,000 lori sarat dengan bantuan yang tersekat di luar Gaza dan sedang menunggu lampu hijau untuk masuk,” katanya.
Malah, beliau mengimbau kejayaan gencatan senjata sementara pada awal tahun ini, sebagai contoh jelas keberkesanan akses kemanusiaan yang diselaraskan.
“PBB, termasuk UNRWA dan rakan-rakan kerjasama, berjaya membawa masuk 500 hingga 600 lori sehari ketika gencatan senjata, awal tahun ini.
“Bantuan sampai kepada seluruh penduduk Gaza dengan selamat dan bermaruah.
“Ia berjaya menterbalikkan keadaan kebuluran yang semakin parah, tanpa sebarang pelencongan bantuan,” katanya.
Lazzarini turut menegaskan peranan penting UNRWA dalam menguruskan penghantaran bantuan yang berkesan dan selamat.
“Tiada alternatif kepada respons yang diselaraskan PBB dengan UNRWA sebagai tulang belakang, mampu mencapai hasil sama.
“Marilah kembali kepada kaedah yang berkesan dan biarkan kami menjalankan tugas kami.
“Inilah yang paling diperlukan rakyat Gaza ketika ini, berserta satu gencatan senjata yang berkekalan,” katanya.
Tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, walaupun mendapat desakan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata kekal.
Serangan itu menyebabkan lebih 60,000 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, setakat ini.
Pengeboman berterusan itu turut memusnahkan wilayah terbabit dan mengakibatkan kekurangan makanan yang teruk.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas kesalahan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan serangan ke atas wilayah itu.
Sumber: Berita Harian