
GAZA: Hujan lebat membanjiri kawasan perkhemahan dan tempat perlindungan sementara di Gaza, yang mana sebahagian besar bangunan musnah atau rosak akibat dua tahun peperangan antara Israel dan Hamas.
Sebahagian penduduk terpaksa menolak kereta meredah jalan-jalan yang dinaiki air di Semenanjung Gaza, manakala yang lain menggunakan kereta kuda untuk mengharungi banjir selepas hujan musim sejuk terbaru melanda wilayah Palestin yang musnah akibat perang itu.
Kementerian Kesihatan di wilayah yang ditadbir Hamas memaklumkan seorang bayi lelaki berusia dua minggu, Muhammad Khalil Abu Al-Khair, meninggal dunia akibat hipotermia teruk berpunca daripada cuaca sejuk melampau.
Menurut kementerian itu, bayi berkenaan dimasukkan ke hospital dua hari lalu dan ditempatkan di unit rawatan rapi, namun meninggal dunia pada Isnin.
Gencatan senjata antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober lalu sedikit sebanyak melonggarkan sekatan terhadap kemasukan barangan dan bantuan.
Namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata jumlah bantuan yang masuk ke Gaza masih tidak mencukupi, sedangkan keperluan penduduk amat mendesak.
PBB pada Isnin berkata dianggarkan sebanyak 1.3 juta penduduk kini memerlukan bantuan tempat perlindungan di Gaza dan memberi amaran mengenai peningkatan risiko hipotermia.
Menurutnya, bayi berada dalam keadaan ‘sangat berisiko terjejas’ berikutan cuaca musim sejuk.
“Dengan hujan lebat dan cuaca sejuk yang dibawa Ribut Byron, ramai penduduk di Semenanjung Gaza kini mati kesejukan,” kata Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, dalam hantaran di platform X pada Isnin.
“Kami mempunyai bekalan yang sudah berbulan menunggu untuk dibenarkan masuk ke Gaza. Bekalan itu mampu memenuhi keperluan ratusan ribu penduduk yang berada dalam keadaan terdesak,” katanya.
Minggu lalu, hujan lebat akibat Ribut Byron membadai wilayah itu, sekali gus menambah penderitaan penduduknya, yang hampir kesemuanya dipindahkan sepanjang tempoh perang.
Agensi Pertahanan Awam Gaza, yang berfungsi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas, berkata pada Jumaat, sekurang-kurangnya 16 orang maut dalam tempoh 24 jam akibat runtuhan bangunan serta kesan cuaca sejuk.
Pada Selasa, jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, berkata sekurang-kurangnya seorang maut selepas bumbung sebuah bangunan runtuh susulan hujan lebat di barat laut Bandar Gaza.
Beliau berkata rumah berkenaan sudah pun rosak akibat serangan udara semasa perang.
Rakaman AFP menunjukkan anggota penyelamat mengeluarkan mayat seorang lelaki dari runtuhan konkrit menggunakan pengusung, manakala ahli keluarga yang bersedih menangis di jalanan.
Terletak di antara Gurun Sinai dan Gurun Negev di satu sisi lain, selain Laut Mediterranean pada sebelah lain, Semenanjung Gaza yang berkeluasan kecil menerima hampir keseluruhan taburan hujannya melalui hujan lebat pada penghujung musim luruh dan musim sejuk. – AFP
Sumber: Berita Harian