Remaja Palestin Maut Ditembak IDF Dalam Insiden Membaling Batu

BETHLEHEM: Seorang remaja Palestin ditembak mati tentera Israel (IDF) di bandar Tuqu’, di wilayah Tebing Barat yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin dan disahkan pihak tentera Israel.

Menurut laporan The Times of Israel, IDF berkata kejadian berlaku semasa operasi ketenteraan di kawasan tersebut pada Isnin, apabila ‘rusuhan’ tercetus dan batu dibaling ke arah pasukan tentera.

IDF mendakwa mereka menggunakan kaedah kawalan rusuhan sebelum melepaskan tembakan ke arah individu yang dianggap sebagai pencetus utama rusuhan, dan mengesahkan tembakan mengenai sasaran.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan mangsa dikenali sebagai Ammar Yasser Muhammad Taamra, 16, ditembak di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Rakaman media tempatan menunjukkan suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah keluarga mangsa yang meratapi pemergian arwah.

Insiden ini menambah kepada siri keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut laporan Al Arabiya dan Straits Times, lebih 250 rakyat Palestin terbunuh di wilayah tersebut sepanjang tahun ini, kebanyakannya dalam operasi ketenteraan Israel atau pertempuran bersenjata.

Pihak berkuasa Israel memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung insiden ini, manakala kumpulan hak asasi manusia dan pemimpin Palestin mengecam tindakan tersebut sebagai penggunaan kekerasan yang tidak seimbang terhadap remaja yang tidak bersenjata.

Sumber: Astro Awani

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Hujan Lebat Membanjiri Jalanan Di Gaza yang Musnah Akibat Perang

Next Post

Pencabulan Israel Terus Meragut Nyawa Penduduk Di Gaza

Related Posts