
TEHRAN: Iran melancarkan peluru berpandu hipersonik ke atas Israel awal pagi Rabu, dalam gelombang serangan terbaharu hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendesak Republik Islam itu menyerah diri tanpa syarat.
Ketegangan memasuki hari keenam apabila jet pejuang Israel menyasarkan ibu negara Iran sebelum subuh, dengan mengarahkan penduduk awam berpindah dari satu kawasan tertentu atas alasan keselamatan.
Tentera Israel memaklumkan telah mengebom beberapa tapak pembuatan senjata termasuk sebuah kemudahan pembinaan sentrifug di Teheran.
Sebagai tindak balas, Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah melancarkan peluru berpandu hipersonik Fattah-1 ke arah Tel Aviv dalam serangan yang disifatkan sebagai ‘gelombang ke-11 Operasi Honest 3’
“Peluru berpandu Fattah-1 kami menggoncang tempat perlindungan musuh secara berterusan,” kata kenyataan IRGC yang disiarkan di televisyen negara itu.
Ketika serangan udara berterusan, kawasan kediaman di kedua-dua negara mengalami kemusnahan.
Lebih 700 warga asing yang menetap di Iran dilaporkan lari ke Azerbaijan dan Armenia sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan minggu lalu.
Mereka yang dipindahkan termasuk warganegara Rusia, Belarus, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan serta dari Jerman, Sepanyol, Itali, Serbia, Romania, Portugal, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Vietnam.
AS juga memutuskan untuk menutup kedutaannya di Baitulmaqdis hingga Jumaat, namun belum mengumumkan sebarang pelan pemindahan warganya dari kawasan konflik.
Sumber: Buletin Tv3
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj