Israel Langgar Lagi Gencatan Senjata, Rakyat Palestin Terbunuh Di Gaza

BANDAR GAZA/ISTANBUL: Tentera Israel membunuh seorang warga Palestin pada Isnin di utara Semenanjung Gaza dan menyerang beberapa lokasi di selatan, dalam pelanggaran terbaharu perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik sumber perubatan.

Sumber itu mengesahkan seorang warga Palestin maut akibat tembakan dari dron quadcopter di kejiranan Zeitoun, tenggara Gaza City.

Penduduk memberitahu Anadolu, artileri Israel mengebom bertalu-talu kawasan timur Rafah, dengan kepulan asap naik dari kawasan yang dibom. Mereka juga melaporkan helikopter Israel melepaskan banyak tembakan di timur Khan Younis.

Tiada laporan segera mengenai jumlah korban.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 357 warga Palestin terbunuh dan 903 lagi cedera akibat tembakan tentera sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt.

Perjanjian gencatan senjata itu, yang diusahakan Turkiye, Mesir dan Qatar, serta disokong oleh Amerika Syarikat, menghentikan serangan Israel selama dua tahun yang membunuh lebih 70,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 170,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin. Rancangan itu juga membayangkan pembinaan semula Gaza dan penubuhan mekanisme tadbir urus baharu tanpa Hamas.
— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Universiti Islam Gaza Sambung Pengajian Bersemuka Selepas 2 Tahun Genosid

Next Post

Puluhan Ribu Penduduk Gaza Perlukan Evakuasi Perubatan Segera – MSF

Related Posts