
BAITULMAQDIS: Lebih 100 pertubuhan bantuan kemanusiaan memberi amaran kebuluran serius semakin meningkat di Semenanjung Gaza.
Ia turut menjejaskan petugas mereka yang kini turut terkesan akibat kekurangan bekalan asas.
Amaran itu dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama, oleh 111 organisasi termasuk Doctors Without Borders (MSF), Save the Children dan Oxfam, ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap Israel, berikutan keadaan kemanusiaan yang semakin teruk di wilayah Palestin itu.
Gaza yang dihuni lebih dua juta penduduk telah berdepan konflik berterusan selama 21 bulan.
Walaupun Israel mula melonggarkan sekatan bantuan selama lebih dua bulan pada akhir Mei lalu, penduduk Gaza masih berhadapan kekurangan makanan dan keperluan asas yang amat ketara.
Keadaan menjadi lebih malang apabila ramai yang terkorban ketika cuba mendapatkan bantuan di beberapa lokasi pengagihan yang terhad.
Pertubuhan itu menggesa gencatan senjata segera melalui rundingan, pembukaan semua laluan darat serta kelancaran bantuan kemanusiaan menerusi mekanisme yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada Selasa, PBB melaporkan lebih 1,000 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan sejak penubuhan Gaza Humanitarian Foundation – yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel, pada akhir Mei lalu. – AFP
Sumber: Buletin Tv3