
BEIRUT: Israel melancarkan lebih daripada 60 serangan ke atas wilayah Syria dalam tempoh hanya beberapa jam, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, lewat malam tadi.
Katanya, Israel melepaskan 61 peluru berpandu ke pangkalan tentera Syria dalam tempoh kurang lima jam, petang semalam dan meneruskan kempen yang bermula selepas tentera pemberontak menggulingkan presiden Bashar al-Assad hampir seminggu lalu.
Komander utama pemberontak, Ahmed al-Sharaa atau lebih dikenali sebagai Abu Mohammed al-Golani, semalam memaklumkan Israel menggunakan alasan palsu untuk mewajarkan serangannya ke atas Syria.
Bagaimanapun, beliau tidak berminat untuk terbabit dalam konflik baharu kerana negara itu mahu memberi tumpuan kepada pembinaan semula susulan berakhirnya pemerintahan rejim Assad .
Golani, yang mengetuai kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham (HTS), berjaya menggulingkan pemerintahan kuku besi keluarga Assad selama lebih lima dekad di Syria.
Israel kemudian berpindah ke zon penampan tentera di dalam Syria yang diwujudkan selepas perang Arab-Israel 1973, termasuk bahagian Syria di Gunung Hermon yang strategik dan menghadap ke Damsyik, di mana ia mengambil alih pos tentera Syria yang ditinggalkan.
Israel mendakwa tidak berhasrat untuk berada di sana dan menyebut pencerobohan ke wilayah Syria sebagai langkah terhad dan sementara untuk memastikan keselamatan sempadan, selain melakukan ratusan serangan bagi memusnahkan simpanan senjata strategik Syria.
Beberapa negara Arab, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan, mengutuk apa yang mereka panggil rampasan zon penampan oleh Israel di Bukit Golan.
“Hujah Israel menjadi semakin lemah dan ia tidak lagi menjadi pencabulan mereka baru-baru ini sebagai sesuatu yang munasabah.
“Pihak Israel jelas melampaui batas di Syria dan meningkatkan ancaman yang tidak wajar di rantau itu,” kata Golani dalam temu bual yang diterbitkan di laman sesawang Syria TV , iaitu saluran milik pro-pembangkang.
Tambahnya, keadaan Syria yang berdepan perang berpanjangan selepas bertahun-tahun konflik tidak membenarkan ruang untuk berlaku konfrontasi baru.
“Keutamaan pada peringkat ini adalah pembinaan semula dan kestabilan, ia tidak membenarkan pertikaian yang boleh membawa kepada lebih banyak kemusnahan,” katanya.
Golani turut mengulas mengenai Russia, yang campur tangan ketenteraannya hampir sedekad lalu membantu menyeimbangkan kedudukan yang memihak kepada Assad dan turut memberikan suaka kepada pemimpin yang digulingkan awal minggu ini.
Golani berkata, hubungan negara itu dengan Syria harus memenuhi kepentingan bersama.
“Pada peringkat ini, pengurusan yang teliti dalam hubungan antarabangsa amat diperlukan,” katanya. – AFP
Berita Harian
#beritahariini #bumimikraj
‘Sebarkan Kemenangan, Akhiri Penjajahan’
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : klik t.me/bumimikraj