
GENEVA: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) mendedahkan sekurang-kurangnya 613 kematian telah direkodkan di pusat bantuan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) dan kawasan sekitar konvoi kemanusiaan sejak operasi bermula pada akhir Mei lalu.
Jurucakap OHCHR, Ravina Shamdasani, dalam satu taklimat media di Geneva berkata, angka tersebut adalah setakat 27 Jun dan tidak termasuk insiden baharu selepas tarikh berkenaan.
“Kami telah merekodkan 613 kematian, sama ada di titik agihan GHF mahupun berhampiran konvoi bantuan.
“Angka ini diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk hospital, tanah perkuburan, keluarga mangsa, pihak berkuasa kesihatan Palestin dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Menurut laporan, 509 daripada mangsa terbunuh berhampiran pusat agihan GHF, yang dikendalikan oleh organisasi disokong Amerika Syarikat dan Israel.
GHF menggunakan syarikat keselamatan dan logistik swasta untuk menyalurkan bantuan ke Gaza, sekali gus memintas sistem kelolaan PBB yang sebelum ini dikritik oleh Israel kerana didakwa membenarkan penyelewengan bantuan oleh kumpulan militan.
PBB menyifatkan pendekatan GHF secara asasnya tidak selamat dan melanggar prinsip ketidakberpihakan dalam bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) turut menyatakan kebimbangan terhadap insiden rampasan bantuan dan serangan terhadap pemandu trak, serta menyeru Israel sebagai kuasa pendudukan untuk memastikan keselamatan awam dan membenarkan kemasukan bekalan penting melalui pelbagai laluan.
Tentera Israel mengakui bahawa orang awam Palestin telah terjejas di pusat agihan bantuan dan memaklumkan bahawa arahan baharu telah dikeluarkan kepada anggota mereka.
Sumber: Astro Awani