
ANKARA, 25 REJAB – Mesir dan Turkiye mencapai kesepakatan bersama berhubung perkembangan kritikal di Gaza, Sudan dan Rantau Tanduk Afrika susulan perbualan telefon antara menteri luar kedua-dua negara.
Menurut kenyataan rasmi, Menteri Luar Mesir Badr Abdel-Aty dan rakan sejawatnya dari Turkiye, Hakan Fidan, membincangkan situasi serantau yang semakin meruncing, dengan tumpuan utama kepada perang berterusan di Gaza, krisis kemanusiaan di Sudan serta ketegangan geopolitik di Tanduk Afrika.
Dalam isu Palestin, kedua-dua menteri sependapat mengenai keperluan segera mempergiat usaha dan tekanan antarabangsa bagi mengukuhkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza, selain mempercepat peralihan ke fasa kedua pelan penyaheskalasian konflik.
Abdel-Aty turut mengulangi cadangan Mesir supaya sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin bersifat sementara ditubuhkan bagi mengurus pentadbiran dan keperluan harian di Gaza.
Cadangan itu turut disertakan dengan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa sama, beliau menegaskan pendirian tegas Kaherah menolak sebarang usaha untuk menjejaskan kesatuan wilayah Palestin atau meneruskan pelanggaran oleh Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Menurutnya, sebarang penyelesaian politik hanya boleh dicapai jika berpaksikan legitimasi Palestin yang bersatu dan sah.
Berhubung perkembangan di Rantau Tanduk Afrika, Mesir dan Turkiye turut mengambil pendirian bersama menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah pemisah Somaliland.
Abdel-Aty menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, selain memberi amaran bahawa ia membawa ancaman langsung kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau menegaskan sokongan penuh Mesir terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia, serta menolak sebarang tindakan unilateral yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan baharu di rantau tersebut.
Sementara itu, mengenai konflik di Sudan, kedua-dua pihak menekankan keperluan mendesak untuk mendorong gencatan kemanusiaan sebagai langkah awal ke arah gencatan senjata menyeluruh.
Mereka turut menggesa perlindungan institusi negara Sudan, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta pemeliharaan perpaduan dan integriti wilayah negara itu.
Perbincangan ini berlangsung susulan pengumuman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengenai pengiktirafan Israel terhadap Somaliland sebagai sebuah negara merdeka, langkah yang mengundang kecaman meluas di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sumber; Tv Pertiwi