
GAZA: Angka korban harian di Gaza terus meningkat dengan Al Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya 56 lagi penduduk terbunuh dalam serangan terbaharu Israel ke atas wilayah Palestin itu sejak subuh Khamis.
Kecaman antarabangsa semakin memuncak susulan serangan maut kereta kebal Israel ke atas satu-satunya gereja Katolik di Gaza, yang meragut tiga nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 lagi.
Maklumat baharu turut diperoleh mengenai pengunjung gereja terbabit yang menjadi sasaran serangan Israel pada Khamis lalu, walaupun diiktiraf sebagai pusat perlindungan pelarian.
Lebih 600 individu kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dilaporkan berlindung di gereja berkenaan ketika serangan berlaku. Setakat ini, tiga orang disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 10 lagi cedera.
Mengulas kes berkenaan, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Caroline Levitt, berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) tidak berpuas hati apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Namun, ini bukan kejadian terpencil kerana tentera Israel dilaporkan telah menyasarkan sekurang-kurangnya enam gereja di Gaza sejak 7 Oktober 2023, menggunakan peluru berpandu.
Namun, tentera Israel tetap menegaskan bahawa serangan terbaharu itu berlaku secara tidak sengaja.
Sementara itu di Damsyik, Syria, AS menegaskan ia tidak menyokong serangan udara terbaru Israel ke atas Syria dan dengan jelas menyampaikan rasa tidak puas hatinya berhubung tindakan itu.
Pada masa sama, pemimpin interim Syria, Ahmed al-Sharaa, menuduh Israel cuba memecah-belahkan negaranya dan berjanji untuk melindungi kaum minoriti Druze.
Pada Rabu, Israel melancarkan serangan udara di Damsyik dan menyerang pasukan kerajaan di selatan menuntut mereka berundur atas alasan mahu melindungi masyarakat Druze di Syria, sebahagian kaum minoriti kecil tetapi berpengaruh, yang turut mempunyai pengikut di Lubnan dan Israel.
Pada Khamis, agensi berita rasmi Syria melaporkan, Israel melancarkan serangan udara di sekitar Sweida, di mana puluhan orang terbunuh dalam tempoh tempoh beberapa hari konflik, yang membabitkan pejuang Druze menentang tentera kerajaan dan puak Badwi.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, berkata AS mengecam keganasan di Syria dan sedang berhubung secara aktif dengan semua pihak di sana serta menggesa kerajaan Syria untuk menerajui langkah ke hadapan.
“Berhubung campur tangan dan tindakan Israel, AS tidak menyokong serangan udara terbaru oleh Israel,” katanya.
Bruce, bagaimanapun enggan mengulas sama ada Washington menyokong tindakan ketenteraan seumpama itu oleh Israel apabila dianggap perlu.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata terdapat cubaan untuk mensabotaj gencatan senjata yang dicapai semalam, dengan Israel sekali lagi menunjukkan ia tidak mahu keamanan atau kestabilan, sama ada di Gaza mahu pun Syria.
“Israel, menggunakan masyarakat Druze sebagai alasan bagi meluaskan kegiatan kejamnya ke Syria,” katanya kepada wartawan.
Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Turkiye, Iraq, Oman, Qatar, Kuwait, Lubnan dan Mesir mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan sokongan mereka terhadap Syria.
Mereka juga mengiktiraf ‘keselamatan, perpaduan, kestabilan dan kedaulatan’ Syria, serta menolak sebarang campur tangan asing dalam urusan negara itu.
Rangkaian Syria untuk Hak Asasi Manusia, berkata mereka mendokumentasi 254 kematian dalam tempoh empat hari pertempuran, termasuk kakitangan perubatan, wanita dan kanak-kanak.
Ketua rangkaian itu, Fadel Abdulghany, memberitahu Reuters, angka itu termasuk kes pelaksanaan hukuman mati di lapangan oleh kedua-dua pihak.
Ia juga merangkumi rakyat Syria terbunuh akibat serangan Israel dan mereka yang terbunuh dalam pertempuran, namun akan mengambil masa untuk mengklasifikasikan angka itu mengikut kategori.
Seorang wartawan tempatan berkata beliau mendapati terdapat lebih 60 mayat di Sweida di selatan Syria pada pagi Khamis.
Ryan Marouf dari Suwayda24 memberitahu Reuters, beliau menemui 12 sekeluarga terbunuh dalam sebuah rumah, termasuk wanita dan seorang lelaki tua. – AGENSI
Sumber: Berita Harian