
WASHINGTON: Serangan terbaharu Israel terhadap Gaza menjadikan matlamat untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan semakin sukar dicapai, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Asia Barat, Khaled Khiari berkata, serangan yang berlanjutan ini mengancam orang awam termasuk tebusan yang mana 24 daripadanya dipercayai masih hidup.
“Hari demi hari berlalu, kita semakin jauh daripada matlamat untuk mengembalikan lebihan tebusan dengan selamat ke rumah mereka,” kata Khiari dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera akibat serangan udara di Gaza semalam, selain ratusan terbunuh sejak serangan Israel disambung Selasa lalu.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon pada mesyuarat memaklumkan, serangan terhadap apa yang disebutnya sebagai sasaran terhadap Hamas akan berlarutan sehingga semua tebusan pulang ke rumah mereka.
Perwakilan Sementara Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Dorothy Shea menyalahkan Hamas kerana didakwa menyebabkan tercetusnya semula serangan dengan menolak cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata.
“Presiden AS, Donald Trump dengan jelas berkata Hamas harus membebaskan 59 tebusan dengan segera termasuk warganegara AS… atau akan menanggung akibatnya,” katanya.
“Kami terus menyokong Israel dalam usaha untuk mempertahankan diri selain memastikan pembebasan semua tebusan dari tahanan Hamas.”
Shea muncul di hadapan pemberita sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB dengan Eli Sharabi, seorang tebusan Israel yang dibebaskan pada 8 Februari, yang hanya mengetahui bahawa isteri kelahiran Britain dan dua anak perempuannya terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Sharabi, yang turut memberi ucapan pada Majlis Keselamatan PBB, berkata beliau ditahan di bawah tanah selama 491 hari dan diperlakukan lebih teruk daripada binatang… dirantai, kelaparan, dipukul, dan dihina.
Sharabi berkata PBB dan Palang Merah perlu bertindak untuk membawa pulang 59 tebusan yang masih hidup, termasuk mayat mereka yang terbunuh.-REUTERS, Buletin Tv3
#bumimikraj
Join telegram channel untuk dapatkan lebih banyak info Bumi Mikraj, Palestin : klik t.me/bumimikraj