Tentera Israel Umum Akan Guna ‘Kekuatan Luar Biasa’ Di Bandar Gaza

BANDAR GAZA: Tentera Israel semalam memberi amaran akan bertindak dengan kekuatan luar biasa di Bandar Gaza, dan sekali lagi memberi amaran kepada penduduk untuk melarikan diri ketika mereka meneruskan serangan darat di pusat bandar terbesar di wilayah itu.

Israel telah membedil Kota Gaza dengan serangan udara dan tembakan kereta kebal dalam usaha untuk menawannya, hampir dua tahun sejak perang yang telah memusnahkan wilayah Palestin dan menyebabkan bandar itu dilanda kebuluran yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan itu berlaku menjelang langkah yang dirancang oleh beberapa kerajaan Barat, termasuk Britain dan Perancis, untuk mengiktiraf negara Palestin pada sidang kemuncak PBB minggu depan.

Tentera Israel melancarkan serangan darat pada Selasa dan selama beberapa hari telah memberitahu penduduk untuk menuju ke selatan, tetapi ramai rakyat Palestin berkata perjalanan itu sangat mahal dan mereka tidak tahu ke mana hendak pergi.

“Sudah beberapa hari, kami cuba berpindah ke selatan, tetapi kami tidak dapat mencari sebarang alat pengangkutan,” kata Khaled al-Majdalawi, seorang rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal di barat Bandar Gaza kepada AFP, sambil menceritakan bedilan yang sengit dan berterusan.

“Kami akhirnya menemui jalan untuk pergi awal pagi ini. Kami mengemas barang-barang kami dan menunggu selama berjam-jam, tetapi sehingga kini, tiada sesiapa yang datang, dan pemandu tidak menjawab panggilan kami,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.

PBB menganggarkan pada akhir Ogos bahawa kira-kira sejuta orang tinggal di Bandar Gaza dan sekitarnya.

Tentera Israel semalam berkata, ia menganggarkan 480,000 orang telah melarikan diri sejak akhir Ogos.

Agensi pertahanan awam Gaza, pasukan penyelamat yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas berkata, 450,000 orang telah melarikan diri.

Pada Jumaat, jurucakap tentera berbahasa Arab mengumumkan penutupan laluan pemindahan sementara yang dibuka 48 jam lebih awal, dengan mengatakan satu-satunya jalan ke selatan adalah melalui jalan Al-Rashid di sepanjang pantai Mediterranean.

“(Tentera) akan terus beroperasi dengan kekuatan luar biasa terhadap Hamas dan organisasi pengganas lain,” kata Avichay Adraee dalam hantaran di X yang ditujukan kepada penduduk bandar itu.

“Ambil peluang ini dan sertai ratusan ribu penduduk bandar yang telah berpindah ke selatan ke kawasan kemanusiaan.”

Tentera Israel telah menggesa rakyat Palestin untuk menuju ke kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi di pantai, di mana ia berkata bantuan, penjagaan perubatan dan infrastruktur kemanusiaan akan disediakan.

Israel pada mulanya mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon selamat pada awal perang, tetapi telah melakukan serangan berulang kali di sana dengan alasan ia menyasarkan Hamas.

Nivin Ahmed, 50, melarikan diri ke selatan dari Bandar Gaza ke bandar pusat Deir el-Balah pada Khamis, berjalan kaki bersama tujuh ahli keluarganya.

“Kami berjalan lebih dari 15 kilometer, kami merangkak kerana keletihan,” katanya kepada AFP

.”Anak bongsu saya menangis kerana keletihan. Kami bergilir-gilir mengheret sebuah kereta sorong kecil dengan beberapa barangan kami,” katanya.

Mona Abdel Karim, 36, berkata dia tidak berjaya mendapatkan pengangkutan ke selatan dan tidur di jalan Al-Rashid selama dua malam bersama keluarganya, menunggu pemandu.

“Saya rasa seperti akan meletup. Kami tidak boleh berjalan kaki – ibu bapa suami saya sudah tua dan sakit, dan kanak-kanak terlalu lemah untuk berjalan,” katanya.

Jurucakap agensi pertahanan awam Mahmud Bassal melaporkan bedilan artileri dan kejafian tembakan di kejiranan Tel al-Hawa di barat daya Bandar Gaza.

Beliau juga melaporkan bedilan dan tembakan dron di kawasan barat laut bandar itu, serta serangan di beberapa kejiranan.

Semalam, Israel membunuh sekurang-kurangnya 41 orang di seluruh wilayah itu, 11 daripadanya di Gaza, menurut pengiraan angka yang diberikan oleh hospital-hospital Gaza yang dihubungi oleh AFP.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata tenteranya di Bandar Gaza menyasarkan militan menggunakan tembakan kereta kebal, UAV (dron) bersenjata dan serangan udara, membongkar infrastruktur pengganas dan mencari senjata di kawasan itu.

Sekatan media di wilayah itu dan kesukaran dalam mengakses banyak kawasan bermakna AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas butiran yang diberikan oleh pertahanan awam atau tentera Israel.

Serangan yang disokong AS di Bandar Gaza berlaku ketika siasatan PBB menuduh Israel melakukan genosid di Semenanjung Gaza, dengan mengatakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan lain telah melakukan jenayah itu.

Israel menolak penemuan itu dan mengecam siasatan itu sebagai terpesong dan palsu.

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang mengakibatkan kematian 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Kempen serangan balas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 65,174 orang, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan wilayah itu yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Mengepung Penduduk Di Bandaraya Gaza Dari Dua Arah

Next Post

Kos Keluar Gaza Mencecah AS$3,000 Sekeluarga – UNRWA

Related Posts