
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata beliau percaya gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas mungkin dapat dicapai dalam tempoh seminggu.
Trump, ketika menghadiri acara di Pejabat Oval sempena perjanjian antara Congo dan Rwanda semalam, memberitahu wartawan bahawa beliau merasakan rundingan gencatan senjata kini berada di fasa akhir.
Tambahnya, beliau baru sahaja berbincang dengan beberapa individu yang terlibat dalam usaha menghentikan konflik di Gaza itu.
Hamas yang menguasai Gaza sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membebaskan baki tebusan, sebagai sebahagian daripada perjanjian mengakhiri pertempuran.
Namun, Israel menegaskan konflik hanya akan berakhir jika Hamas dilucutkan senjata dan dibubarkan, Hamas pula bertegas enggan meletakkan senjata.
Konflik di Gaza tercetus selepas pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, menurut data pihak berkuasa Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan lebih 56,000 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan Israel selepas 7 Oktober.
Serangan turut mencetuskan krisis kebuluran, menyebabkan keseluruhan penduduk Gaza menjadi pelarian, serta membawa rejim Zionis kepada tuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Minat untuk menyelesaikan konflik Gaza kembali meningkat susulan Gencatan senjata antara Israel dan Iran.
“Saya rasa ia sudah hampir. Saya baru bercakap dengan beberapa orang yang terlibat,” kata Trump.
“Kami percaya gencatan senjata akan dapat dicapai dalam masa seminggu.”
Trump tidak memaklumkan dengan siapa beliau berbincang, namun berkata beliau sering berhubung dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sepanjang konflik Israel-Iran berlangsung.
Ramalan mengejut Trump mengenai kemungkinan tercapainya perjanjian gencatan senjata dalam masa terdekat dibuat ketika masih belum ada tanda-tanda kukuh bahawa kedua-dua pihak bersedia untuk menyambung rundingan secara serius atau beralih daripada pendirian masing-masing.
Sumber: Buletin Tv3
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj