
ANKARA: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa serangan berterusan Israel serta sekatan semakin memburukkan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Anadolu Ajansi (AA), yang memetik kenyataan UNRWA, melaporkan, pihaknya kini mengendalikan 115 pusat perlindungan di seluruh Gaza, yang menempatkan lebih 90,000 pelarian.
“Krisis yang sedia genting kini semakin merosot akibat pengeboman serta sekatan yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menganggarkan hampir 420,000 penduduk sekali lagi hilang tempat tinggal sejak gencatan senjata Januari lalu gagal dipertahankan, dan mengulangi gesaan kepada gencatan senjata segera di Gaza.
Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan sempadan Gaza, menyekat kemasukan bekalan penting walaupun terdapat pelbagai laporan kebuluran di wilayah yang musnah akibat perang itu.
Tentera Israel melancarkan semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, sekali gus memusnahkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai pada Januari.
Sumber perubatan memaklumkan kepada Al Jazeera bahawa sekurang-kurangnya 64 orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak subuh Jumaat lalu.
Program Makanan Sedunia (WFP) PBB mengeluarkan amaran segera bahawa ‘Gaza perlukan makanan sekarang’ memandangkan ratusan ribu penduduk berisiko mengalami kebuluran.
Wartawan Al Jazeera di Gaza melaporkan penduduk wilayah yang dilanda perang itu kini ‘terlalu tertekan secara mental’ berikutan pengeboman tanpa henti Israel dan ketiadaan makanan untuk anak-anak akibat sekatan Israel terhadap bekalan bantuan.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan sekurang-kurangnya 51,065 rakyat Palestin disahkan terkorban dan 116,505 lagi cedera dalam perang Israel ke atas Gaza sejak ia bermula 18 bulan lalu.
Pejabat Media Kerajaan Gaza pula mengemas kini angka korban kepada lebih 61,700 orang, dengan ribuan lagi masih hilang di bawah runtuhan dan disyaki telah meninggal dunia.
Sekurang-kurangnya 1,139 orang terbunuh di Israel dalam serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023, dan lebih 200 individu telah diculik. – AGENSI
Sumber: Berita Harian
#beritahariini
Berita terkini saudara kita di Palestin. Tekan butang Join sekarang. Klik t.me/bumimikraj