
Ankara: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa penduduk awam di Gaza kini terperangkap dalam situasi amat kritikal, dengan keluarga berdepan krisis makanan yang semakin meruncing serta tiada tempat perlindungan yang selamat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Di Gaza, orang awam terperangkap tanpa ada tempat selamat untuk dituju.
“Keluarga terus berdepan keadaan ekstrem dan masalah kekurangan makanan yang semakin parah. Tindakan segera amat diperlukan. #Ceasefire, sebelum terlambat,” menurut UNRWA dalam satu kenyataan di platform media sosial X.
Agensi itu berulang kali memberi amaran mengenai keruntuhan perkhidmatan asas di Gaza, dengan lebih dua juta penduduk menghadapi kekurangan makanan, bekalan air bersih, bahan api dan ubat-ubatan akibat serangan berterusan.
Sejak 2 Mac lalu, pihak berkuasa Israel menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan Gaza, sekali gus menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu terjerumus ke ambang kebuluran.
Tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Semenanjung Gaza, mengorbankan lebih 64,700 penduduk Palestin sejak Oktober 2023.
Kempen ketenteraan itu turut memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan krisis kebuluran.
Sumber: Harian Metro