
Meskipun hampir dua tahun berlalu sejak kesyahidan as-syahid Abu Ibrahim, atau nama sebenarnya Yahya Ibrahim Hassan Sinwar pada 16 Oktober 2024. Namun sehingga saat ini, namanya masih mekar di lubuk hati setiap insan yang setia mengikuti perjuangan penentangan di Gaza dan Palestin keseluruhannya. Hakikatnya, Operasi Taufan al-Aqsa yang dilancarkan pada Subuh 7 Oktober 2023 bukanlah satu perancangan tiba-tiba yang dikatakan telah dicatur oleh Sinwar. Malah ia satu perancangan strategik yang telah pun dipersiapkan dengan penuh teliti, teratur dan berpandangan jauh, yakni dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan tindak balas serta implikasi jangka panjang terhadap tindakan yang diambil.
Pada 12 Julai lepas, The Times of Israel telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk, “In memo before October 7 Massacre, Sinwar predicted Israel might respond with nuclear strike” yang mengupas dakwaan mengenai jangkaan Yahya Sinwar terhadap kemungkinan tindak balas ke depan pihak rejim susulan operasi yang dilancarkan ke atas wilayah haram dalam catatan operasinya. Artikel tersebut merujuk kepada sebuah memo yang dihasilkan daripada himpunan catatan tulisan tangan didakwa milik Sinwar bertarikh Ogos 2022. Memo itu dilaporkan diperoleh oleh Meir Amit Intelligence and Terrorism Information Center sebelum petikannya disiarkan oleh Saluran 12 Israel pada Ahad.
Menurut laporan saluran tersebut ketika mengulas hal ini, berdasarkan catatan Sinwar, as-syahid menyedari sepenuhnya risiko besar yang bakal dihadapi oleh mereka susulan pelaksanaan operasi tersebut. Antara unjuran strategik (strategic forecast) yang didakwa direkodkan oleh Sinwar di dalam catatan itu, as-syahid menyatakan ketidakpastian sama ada Iran atau sekutu-sekutunya di rantau itu seperti Hizbullah akan turut bersama memberi sokongan secara langsung, meskipun begitulah yang diharapkan oleh HAMAS.
Malah melalui catatan yang sama, Sinwar didakwa mengunjurkan bahawa rejim Israel tidak akan teragak-agak untuk menggunakan segala bentuk kekerasan dan semua senjata yang dimilikinya sebagai membalas serangan operasi yang dilancarkan Briged al-Qassam. “Bahkan mereka mungkin akan menggunakan bom nuklear sekalipun,” — sebaris catatan yang didakwa ditulis oleh Sinwar dalam catatan operasi sebagai sebahagian daripada implikasi strategik operasi. Bagaimana tidak, wajarlah Sinwar menganggap tindak balas sedemikian sepadan dengan besarnya tamparan yang bakal diterima oleh rejim Israel. “Musuh tidak akan teragak-agak menggunakan semua jenis senjata yang dimilikinya, bukan hanya serangan udara bahkan mungkin bom nuklear. Namun, mereka akan dikejutkan oleh serangan ini dan berada dalam keadaan kelam-kabut.”
Pun begitu, sebagaimana yang kita maklum, rejim Israel dipercayai memiliki senjata nuklear walaupun wilayah haram itu tidak pernah mengesahkannya secara rasmi. Tambahan pula, rejim Israel sendiri bukan merupakan pihak Nuclear Non-Proliferation Treaty-NPT (Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear) seperti Iran misalnya.
Yang menarik untuk kita perhatikan di sini bukanlah tentang sejauh mana kebenaran sama ada benarkah sedemikian operasi yang dicatur oleh Yahya Sinwar dan pasukan pemikir elitnya, meskipun dokumen yang didedahkan oleh agensi perisikan Israel disertakan dengan nota dan catatan operasi yang didakwa milik beliau. Sebaliknya, yang menarik untuk kita perhatikan adalah bagaimana kebijaksanaan Sinwar membuat unjuran jauh ke hadapan dalam meramal implikasi perancangan jangka panjang. Sudah tentu, unjuran seperti ini tidak terhenti sebagai analisis semata-mata, sebaliknya disusuli dengan perancangan dan persiapan rapi bagi menghadapi pelbagai senario yang berpotensi berlaku. Pendekatan sedemikian mampu meningkatkan kebarangkalian kejayaan sesuatu operasi, di samping mengurangkan risiko kegagalannya.
Hakikat bahawa as-syahid menjangkakan kemungkinan hingga ke tahap pihak rejim Israel menggunakan senjata nuklear ke atas Gaza menggambarkan sejauh mana Sinwar berupaya menganggarkan skala serangan balas yang bakal diterima susulan Operasi Taufan al-Aqsa. Walaupun senario tersebut secara praktikalnya dilihat tidak mungkin berlaku, selain pertimbangan itu memperlihatkan bahawa as-syahid sendiri menyedari betapa besar dan dahsyatnya impak serangan 7 Oktober yang dirancangnya mungkin berlaku. Pada masa yang sama, ini juga menunjukkan bahawa as-syahid turut bersedia dengan kemungkinan berlakunya tindak balas yang amat ekstrem, termasuk risiko kemusnahan besar-besaran yang boleh mengorbankan penduduk Gaza.
Walau apa jua risiko yang Sinwar sedia maklum berkemungkinan bakal berlaku akibat daripada pelaksanaan operasi ini, terdapat satu asas yang kita semua perlu faham dalam konteks ini. Taufan al-Aqsa merupakan satu langkah yang memerlukan tindak balas yang wajar demi menghadapi rancangan-rancangan rejim Israel yang bertujuan menghapuskan perjuangan rakyat Palestin.
Menurut dokumen rasmi yang diterbitkan oleh HAMAS pada 21 Januari 2024, gerakan ini telah menjelaskan naratifnya mengenai Operasi Taufan al-Aqsa di samping menghuraikan faktor-faktor yang membawa kepada tercetusnya serangan tersebut. HAMAS menegaskan bahwa operasi yang dilancarkan pada 7 Oktober itu juga merupakan satu langkah yang dianggap wajar dalam rangka membebaskan tanah Palestin daripada cengkaman penjajahan. Antaranya adalah untuk mendapatkan semula hak-hak kebangsaan rakyat Palestin, merealisasikan kemerdekaan dan kebebasan yang sepatutnya dikecapi rakyat Palestin sebagaimana bangsa-bangsa lain yang merdeka di seluruh dunia, menegakkan hak dan menentukan nasib di tanah air sendiri serta menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, di mana Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya.
Tidak hanya itu, melalui catatan operasi yang sama juga, Sinwar didakwa turut merancang dari sudut advokasi dan propaganda operasi. As-syahid mengarahkan agar gambar dan rakaman serangan yang dilancarkan, disebarkan dengan kadar segera bagi mencetuskan kebangkitan rakyat secara menyeluruh. Catatan itu bertulis, “Perlu dipastikan bahawa gambar-gambar yang disiarkan mampu membangkitkan perasaan teruja, semangat dan dorongan dalam kalangan rakyat kita khususnya di Tebing Barat, Baitul Maqdis serta seluruh umat Islam, sekali gus menjadi pemangkin kepada seruan kebangkitan yang akan dilancarkan. Pada masa yang sama, ia hendaklah menimbulkan rasa takut dan panik dalam kalangan musuh.”
Sekiranya dakwaan ini benar, lihatlah bagaimana telitinya perancangan as-syahid demi memastikan operasi ini berjaya sepenuhnya. Bahkan pada saat ini, kita dapat saksikan bagaimana hasil perancangan strategiknya, dengan naratif dan propaganda yang disusun tidak hanya berpusatkan Palestin menyebabkan Sinwar berjaya mengembalikan semula perhatian seluruh masyarakat dunia kepada krisis di Gaza.
Justeru, tidak hairanlah apabila media al-Qassam muncul sebagai antara instrumen utama yang menyumbang kepada keberhasilan operasi. Melalui kenyataan rasmi yang disampaikan secara tersusun dan sarat dengan mesej strategik oleh jurucakapnya yang tampil ber-balaklava, setiap kemunculan beliau sentiasa dinantikan oleh pelbagai pihak. Pada masa yang sama, rakaman operasi yang memaparkan situasi sebenar di medan tempur diperkasakan dan disebarkan secara meluas menerusi pelbagai platform digital, sekali gus menjadikan dimensi media sebagai sebahagian daripada strategi operasi, bukan sekadar medium penyampaian maklumat.
As-syahid Yahya Sinwar dikenali sebagai seorang yang cukup tegas dengan prinsipnya menentang rejim Israel. Maka tidak hairanlah tatkala seorang penganalisis politik Palestin, Nour Audah berpendapat pelantikan Sinwar menggantikan as-syahid Ismail Haniyeh menjadi cabaran besar kepada rejim Israel. Menurutnya, keputusan HAMAS untuk melantik beliau sebagai ketua gerakan (pada ketika itu) telah meletakkan Gaza sebagai pusat perhatian dan bukan hanya di medan perang malah pada bagaimana cara ia beroperasi. Sementara pihak musuh pula melihat Sinwar sebagai seorang yang ‘sangat licik’, pintar dan mempunyai banyak helah.
Pemikiran Yahya Sinwar memperlihatkan ciri-ciri seorang pemimpin yang berorientasikan strategi jangka panjang, dengan keupayaan menyusun keutamaan organisasi berdasarkan objektif yang ingin dicapai. Jika ditelusuri bagaimana sosok peribadinya sendiri, berbekalkan pengalaman di penjara rejim selama 22 tahun, as-syahid tidak melihat perjuangan semata-mata melalui dimensi ketenteraan. Sebaliknya menggabungkan aspek politik, organisasi, hubungan antara faksi, psikologi masyarakat dan pembinaan kapasiti secara berperingkat. Pada masa yang sama, beliau menunjukkan kecenderungan untuk menjangkakan perkembangan konflik demi mengekalkan tumpuan terhadap matlamat strategik yang lebih besar. Pendekatan ini menggambarkan satu corak pemikiran yang menekankan kesabaran strategik (strategic patience), pandangan jauh (strategic foresight) dan penyelarasan pelbagai instrumen perjuangan demi mencapai objektif jangka panjang.
Sama ada memo-memo yang didakwa sebagai tulisan tangan Yahya Sinwar itu benar-benar sahih atau sebaliknya bukanlah persoalan utama yang perlu dibahaskan. Sebaliknya, yang lebih penting ialah memahami corak pemikiran strategik yang digambarkan melalui kandungannya. Hakikatnya, mana-mana pemimpin yang mengangkat perjuangan menentang penjajahan dan berusaha mengembalikan hak serta kedaulatan bangsanya, lazimnya akan menilai pelbagai kemungkinan, risiko dan implikasi sebelum sesuatu tindakan besar dilaksanakan.
Dalam konteks ini, pemikiran strategik Sinwar tidak terbentuk secara tiba-tiba apabila beliau memegang peranan penting dalam HAMAS. Sebaliknya, ia merupakan kesinambungan daripada tradisi pemikiran dan pengalaman perjuangan yang telah dibina oleh generasi terdahulu. Sinwar hadir sebagai pewaris kepada legasi tersebut, meneruskan gagasan bahawa perjuangan membebaskan Palestin dan mencapai kemerdekaannya perlu diteruskan melalui perancangan yang tersusun serta berorientasikan matlamat jangka panjang.
Sumber: Lia Maryam, Cinta Gaza Malaysia